Pearly-Thinaah Mara Ke Separuh Akhir Terbuka Hong Kong

--fotoBERNAMA (2024)
13/09/2024 11:24 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Beregu utama wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah hanya mengambil masa 31 minit untuk menewaskan pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi 21-14, 21-13, pada aksi suku akhir Kejonanan Badminton Terbuka Hong Kong di Hong Kong Coliseum hari ini.

Pearly-Thinaah akan berdepan pasangan nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan pada aksi separuh akhir esok.

Ha Na-So Hee selaku beregu pilihan pertama kejohanan mara ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 21-8, 21-18.

Pearly-Thinaah yang melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 mengalahkan Ha Na-So Hee 21-18, 21-13 pada saingan separuh akhir Terbuka Korea bulan lepas, tetapi terlepas peluang untuk merangkul gelaran juara selepas tewas 12-21, 11-21 kepada satu lagi beregu wanita tuan rumah Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong, pada perlawanan akhir.

Sementara itu, pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, berdepan cabaran sengit untuk mara ke separuh akhir apabila berjaya menewaskan pasangan China Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, dengan keputusan 21-17, 10-21, 21-10.

Menanti pasangan pilihan keempat ini di separuh akhir adalah pasangan China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang sebelum itu menewaskan satu lagi pasangan negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, 21-13, 21-11, dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal meneruskan cabaran ke separuh akhir selepas tersingkir di tangan pasangan Indonesia Sabar Karyaman Gutaman-Moh Reza Pahlevi Isfahani 18-21, 15-21.

Turut menerima nasib yang sama, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Lai Shevon, terpaksa akur apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan tuan rumah Tang Chun Man-Tse Ying Suet 18-21, 17-21.

-- BERNAMA