PSK Mungkin Tanggung Akibat Enggan Buka Akaun Bank Khas - MOM

Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
09/11/2024 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) mungkin akan menanggung akibat sekiranya enggan membuka akaun bank khas jika mahu menerima dana daripada kerajaan, kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Mohd Nazifuddin berkata PSK bagaimanapun mempunyai ruang berbincang bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sekiranya mereka mempunyai masalah berbuat demikian.

“Kita tak tahu setiap PSK mengalami situasi berbeza. Ada yang akaun mereka mempunyai masalah, seperti kemungkinan ada perubahan dalam ahli lembaga atau bendahari. Jadi ada isu dalam pertukaran akaun dan sebagainya.

 “Kita lihat perkara ini sebagai proses yang menyeluruh, KBS akan buat satu garis panduan yang lebih terperinci untuk semua PSK terima bantuan dari KBS. Jadi itu terpulang pada mereka, jika tak boleh ikut garis panduan, baru ia jadi sebab tak diberi bantuan, mungkin itu akan jadi akibatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat MOM kali ke-211 dan Perhimpunan Agung MOM ke-43, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dilaporkan berkata rata-rata persatuan enggan membuka akaun bank khas seperti diminta pihaknya sebagai syarat utama untuk menerima kemasukan dana daripada kerajaan.

Pada Jun lepas, KBS memperkenalkan semula penyaluran peruntukan melalui kaedah pemberian kuasa bagi mengurus dan meningkatkan tadbir urus dana yang mereka terima.

PSK terpilih perlu mematuhi beberapa syarat ditetapkan KBS seperti mewujudkan akaun khas bagi penerimaan kewangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN), serta membenarkan akaun berkenaan diaudit oleh juruaudit dilantik MSN.

-- BERNAMA