Rexy Kecewa Wei Chong-Kai Wun Terlepas Tiket Ke Jelajah Dunia Akhir BWF

Man Wei Chong (kanan) dan Tee Kai Wun (gambar fail)
22/11/2024 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky kecewa dengan aksi tidak konsisten dipamerkan beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun hingga mereka terlepas tiket ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Beliau berkata gandingan di ranking ke-14 dunia itu mempunyai peluang cerah apabila sebelum ini berada dalam kumpulan lapan terbaik ranking kelayakan Jelajah Dunia Akhir BWF dengan pencapaian terbaik pernah muncul naib juara Terbuka Indonesia.

"Memang sangat sayang kerana peluang (layak ke Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF) itu ada tetapi mereka tidak ambil peluang tersebut. Mereka main macam tak nak menang umpama tiada tujuan.

“Mereka tak bijak ambil peluang dan itu antara perkara yang kita harus perbaiki lagi selepas ini,” katanya kepada Bernama pada sesi latihan pasukan kebangsaan di ABM, Bukit Kiara di sini hari ini.

Sebelum ini, impian Wei Chong-Kai Wun untuk membuat penampilan pertama mereka di kejohanan penamat musim itu musnah selepas terkandas di pusingan pertama Masters China 2024, tewas kepada Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark 21-19, 19-21, 17-21.

Mengenai peluang Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula, Rexy berkata gandingan utama negar aitu masih berpeluang selepas mereka mara ke suku akhir kejohanan sama.

“Aaron-Wooi Yik ada peluang besar untuk lepas sebab kejohanan ini bertaraf Super 750 dan menawarkan mata yang banyak. Harap mereka boleh pergi lebih jauh hari ini,” katanya.

Mengikut format Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF, hanya lapan pemain dan beregu terbaik dalam ranking kelayakan akan beraksi pada kejohanan berkenaan, dengan maksimum dua wakil daripada satu negara bagi setiap kategori.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024 pula mendapat tiket automatik menyertai kejohanan berkenaan, meskipun tidak berada dalam kelompok lapan terbaik ranking Jelajah Dunia BWF.

-- BERNAMA