Rexy Anggap Peluang Wakil Negara Raih Gelaran Jelajah Dunia Akhir BWF Makin Tinggi
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky merasakan peluang semakin tinggi untuk Malaysia mencipta sejarah merangkul gelaran pada Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 bulan depan.
Beliau berkata ini berikutan jumlah wakil negara yang terdiri daripada pemain bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain profesional yang berjaya meraih tiket ke kejohanan itu yang dijadual berlangsung di Hangzhou, China dari 11 sehingga 15 Dis.
“Kita berbicara untuk Malaysia, jadi dengan adanya banyak wakil Malaysia di Jelajah Dunia Akhir makin buka banyak peluang untuk kita bisa (raih) sekurang-kurangnya satu gelaran, kita jangan terlalu tamak, saya gembira dengan situasi ini,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Pemain negara yang bakal menggalas cabaran Malaysia pada kejohanan itu adalah dua beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani; beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah; beregu campuran Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai serta perseorangan lelaki Lee Zii Jia.
Sebagai rekod tiada pemain dari Malaysia pernah merangkul gelaran Jelajah Dunia Akhir dan beraksi di pentas final sejak kejohanan itu mula dipertandingkan pada 2018 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke peringkat separuh akhir.
Sementara itu Rexy berharap peluang saat akhir beraksi di kejohanan itu yang diraih Aaron-Wooi Yik digunakan dengan baik.
Beliau turut merasakan gandingan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu perlu meningkatkan lagi tahap prestasi permainan menjelang aksi di Hangzhou.
Terdahulu, misi Aaron-Wooi Yik untuk layak ke kejohanan itu menerima tamparan apabila terkandas di peringkat suku akhir Masters China selepas tewas kepada wakil tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu, Jumaat lepas.
Bagaimanapun keesokannya, BWF mengesahkan Aaron-Wooi Yik bersama Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia menjadi gandingan yang mengisi dua slot terakhir lapan pasangan terbaik.
-- BERNAMA