Olympic House Dijangka Siap 2028
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Pembinaan ibu pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baharu yang akan dikenali sebagai ‘Olympic House’ dijangka siap pada 2028.
Presiden MOM Tan Sri Mohd Norza Zakaria berkata proses pembinaan bangunan yang menelan belanja RM97 juta ringgit itu akan dimulakan penghujung tahun ini bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan.
"Saya rasa kalau tengok dari segi pembinaan ia akan mengambil masa 36 bulan dan melibatkan dua fasa. Fasa pertama adalah bangunan manakala fasa kedua meliputi dewan jamuan serta hotel dan kita akan cuba buat yang terbaik.
“Kita sudah dapat lampu hijau daripada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk majlis pecah tanah dan harap untuk mengadakannya hujung Julai. Daripada situ kita akan mulakan permohonan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk kita dapat kelulusan (pembinaan) tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran Sambutan Hari Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datin Anita Azrina Abdul Aziz dan Timbalan Presiden MOM Datuk Nur Azmi Ahmad.
Pada majlis hari ini Mohd Norza turut mengumumkan kerjasama bersama pihak PSM bagi mempercepat proses pembinaan Olympic House.
“Fasa satu boleh dipercepat dan ia sangat bergantung kepada kolaborasi strategik ini.
“Sebab itu penting untuk kita semua MOM, PSM dan semua 58 persatuan sukan kebangsaan berada di landasan dan garis masa yang sama,” katanya.
-- BERNAMA