BAM Lantik Iskandar Zainuddin Sebagai Jurulatih Perseorangan

Iskandar Zulkarnain Zainuddin
30/06/2025 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Bekas pemain perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kali ini sebagai jurulatih sektor perseorangan.

Pelantikan Iskandar Zulkarnain, 33, itu diumumkan Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia hari ini.

“Iskandar Zulkarnain akan memulakan tugasnya pada 1 Oktober ini. Rundingan sedang berjalan dan akhirnya minggu lepas kita dapat memuktamadkan dan beliau akan pulang dari Ireland,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan BAM menawarkan Iskandar Zulkarnain untuk menyertai barisan kejurulatihan pemain kebangsaan.

Perkara itu disahkan Iskandar Zulkarnain sendiri, namun masih belum mengetahui jawatan yang bakal disandangnya.

Naib juara Masters Malaysia 2016 itu mula berkhidmat sebagai jurulatih sepenuh masa skuad badminton Ireland pada 2022 dan berjaya membawa pemain perseorangan lelaki negara berkenaan Nhat Nguyen layak beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Sebelum itu, beliau menjadi rakan sepelatih kepada Nguyen sebagai persiapan pemain itu sebelum menghadapi kejohanan utama.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Kenneth Jonassen melahirkan kepercayaan terhadap kebolehan Iskandar untuk mengemudi pembangunan perseorangan wanita.

“Kami mengalu-alukan kehadiran Iskandar ke BAM dalam peranan penting ini. Tugas kejurulatihan antarabangsanya, digabungkan dengan latar belakang sebagai pemain kebangsaan, membawa gabungan pengalaman dan perspektif yang berharga.

“Skuad perseorangan wanita kami berada dalam fasa peralihan yang penting, dan kami percaya Iskandar adalah orang yang tepat untuk membimbing pemain, membantu mereka membina kepercayaan dan daya tahan sambil membantu persembahan konsisten di pentas dunia,” katanya.

Sementara itu, Iskandar yang berkongsi keterujaan mengenai peranan baharu itu berkata: “Saya berasa sangat gembira dapat kembali ke BAM, kali ini bukan sebagai pemain tetapi sebagai jurulatih yang bersedia untuk memberikan sumbangan sekali lagi. Perjalanan saya di Ireland telah mengajar saya banyak perkara, dan saya bersyukur diberi peluang untuk mengaplikasikan ilmu itu di sini.

“Saya melihat potensi dalam pemain perseorangan wanita kita dan tumpuan saya adalah untuk membina keyakinan mereka, mempertajamkan taktikal dan fizikal mereka serta membantu mereka beraksi di peringkat antarabangsa.

Iskandar berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada BAM atas kepercayaan dan peluang yang diberi kerana ia sangat bermakna untuk menyumbang kepada sukan yang digemari, di tempat dia memulakan karier.

-- BERNAMA