Jaguh Dunia, Olimpian Bersaing Rebut Gelaran Atlet Terbaik Anugerah SAM-100PLUS 2024

01/07/2025 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Persaingan merebut gelaran Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 dijangka sengit apabila menghimpunkan barisan jaguh dunia serta Olimpian yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. 

Mendahului senarai lima calon utama ialah beregu badminton lelaki nombor dua negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.

Gandingan yang kini berada di ranking nombor dua dunia itu bakal dicabar oleh jaguh boling wanita, Sin Li Jane susulan kejayaannya meraih kejuaraan Terbuka Wanita Amerika Syarikat (AS) 2024 serta Nor Farah Ain Abdullah daripada sukan boling padang yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024, Mei lepas.

Dua lagi calon ialah pelari menara Soh Wai Ching dan jaguh wushu wanita negara Tan Cheong Min.

Sementara itu, saingan bagi Anugerah Atlet Para Terbaik 2024 menyaksikan persaingan sengit antara dua nama besar iaitu Cheah Liek Hou (para badminton) dan Bonnie Bunyau Gustin (para powerlifting) yang masing-masing memburu trofi ketiga sejak kategori itu diperkenalkan pada 2016.

Turut tersenarai bagi kategori sama ialah Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Eddy Bernard (lari pecut T44).

Presiden SAM Norismadi Abd Manap berkata pemenang bagi dua kategori utama itu akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi pada majlis yang dijadual berlangsung di sebuah hotel pada 14 Julai ini.

“Anugerah SAM-100PLUS 2024 turut menghargai sumbangan wartawan sukan menerusi penyampaian anugerah bagi enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik,” katanya pada sidang media hari ini.

Norismadi berkata pihak kepimpinan SAM turut sebulat suara bersetuju menaikkan jumlah hadiah wang tunai bagi anugerah utama wartawan sukan, iaitu Anugerah Siebel kepada RM10,000 berbanding RM7,000 sebelum ini.

Selain itu, hadiah wang tunai bagi kategori Pengulas Sukan Popular juga dinaikkan kepada RM3,000 berbanding RM2,000.

-- BERNAMA