Malaysia Dipilih Tuan Rumah Sukan Perpaduan Islam 2029

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
08/11/2025 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Malaysia, dengan kerjasama Kerajaan Selangor secara rasmi dianugerahkan hak sebagai tuan rumah Sukan Perpaduan Islam 2029.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam kenyataan melalui Facebook memaklumkan pengumuman itu dibuat oleh Persatuan Sukan Perpaduan Islam (ISSA) hari ini.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata Malaysia sangat berbesar hati apabila dipilih sebagai tuan rumah temasya sukan berprestij itu buat pertama kali yang menyatukan komuniti sukan Islam melalui persahabatan, kecemerlangan dan solidariti.

“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada ISSA, terutamanya kepada Suruhanjaya Sukan ISSA di bawah kepengerusian Mohammad Tayyab Ikram, kerana menyenaraikan Malaysia sebelum ini sebagai antara calon tuan rumah dan atas kepercayaan mereka kepada kami.

“Usaha bidaan ini mendapat sokongan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor, mencerminkan visi bersama untuk memajukan pembangunan sukan dan perpaduan di seluruh dunia Islam,” katanya.

Bulan lepas, Malaysia, Iran dan Uzbekistan telah menghantar bidaan untuk menganjurkan Sukan Perpaduan Islam 2029 yang merupakan edisi ketujuh temasya itu.

-- BERNAMA