Se Young Mahu Jadi "Mupae"

Pemain nombor satu dunia An Se Young dari Korea Selatan menjerit kegembiraan selepas berjaya menewaskan pemain Kanada Michelle Li pada pusing pertama kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Stadium Axiata Arena hari ini.
06/01/2026 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Awas, pemain badminton wanita Korea Selatan An Se Young, masih belum berasa puas lagi.

Walaupun kini merupakan pemain perseorangan wanita paling dominan, pemain badminton Korea Selatan itu kini menyasarkan untuk menjadi mupae (tidak pernah dikalahkan) serta mencatatkan satu lagi rekod untuk musim 2026.

Selepas berjaya menyamai pencapaian bekas bintang perseorangan lelaki Jepun Kento Momota, dengan meraih 11 kejuaraan dalam satu musim, pemain nombor satu dunia itu menegaskan bahawa dia tidak akan berhenti setakat mencipta sejarah itu, sebaliknya mahukan kejuaraan ke-12 yang belum pernah dicapai sebelum ini, dan lebih daripada itu.

Pemain badminton perseorangan wanita nombor satu dunia An Se Young dari Korea Selatan.

“Ada banyak kejohanan pada tahun ini dan setiap satu, menjadi motivasi untuk saya menang. Kekal untuk tidak tewas sepanjang musim menjadi matlamat utama saya.

“Ia kelihatan sukar jika dilihat hari ini, tetapi apabila musim berjalan, saya mungkin mampu melakukannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pemain berusia 23 tahun itu ditemui selepas memulakan musim baharunya dengan mengalahkan pemain Kanada Michelle Li, 19-21, 21-16, 21-18, pada Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Walaupun mencatat kemenangan pada perlawanan pertamanya musim ini, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 itu mengakui tubuh badannya masih dalam proses menyesuaikan diri, selepas penamat kempen tahun lepas yang cukup mencabar, dengan Se Young merangkul gelaran Jelajah Dunia Akhir buat kali kedua di Hangzhou, bulan lepas.

“Saya masih dalam proses pemulihan daripada kejohanan sebelum ini. Walaupun saya menjalani latihan untuk kejohanan ini, keletihan itu masih ada dan saya tahu saya memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Walaupun telah menetapkan sasaran berani bagi tahun ini, Se Young bagaimanapun menjangkakan saingan perseorangan wanita akan menjadi lebih sengit, apabila para pencabar semakin menyesuaikan strategi mereka untuk menghentikan dominasinya.

“Ia pasti menjadi lebih mencabar, kerana semakin ramai pemain mengkaji permainan saya dan membuat persiapan khusus untuk berlawan dengan saya,” katanya.

Selepas ini beliau akan bertemu juara dunia 2023 dari Jepun Nozomi Okuhara, yang mengalahkan pemain Taiwan, 21-12, 21-14.

Terbuka Malaysia 2026 akan berlangsung sehingga 11 Jan.

-- BERNAMA