ACD2025 MEDAN BINCANG ISU GERAKAN KOPERASI ASEAN
PETALING JAYA, 4 Mei (Bernama) -- ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD2025) yang dijadual diadakan pada 13 dan 14 Mei ini, akan menjadi medan bagi membincangkan pelbagai isu kritikal melibatkan gerakan koperasi dalam kalangan negara ASEAN.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata ACD2025 selain berperanan mengiktiraf gerakan koperasi di rantau ini, ia juga peluang untuk meneroka kerjasama strategik seperti perdagangan, pelancongan, teknologi digital, kewangan Islam dan pembangunan produk halal.
“Kebanyakan negara hanya fokus kepada koperasi pertanian dan kita harap dengan adanya ACD2025, peranan dan sumbangan koperasi diangkat menjadi wadah yang lebih besar merentasi pelbagai sektor dan kita cadangkan ia juga diletak dibawah sektor ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Prapeluncuran ACD2025 yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud di ibu pejabat Angkasa di sini hari ini.
Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) berkata ACD2025 adalah peluang terbaik untuk menampilkan pencapaian koperasi Malaysia di pentas serantau khususnya dalam sektor pendidikan, komuniti dan pengguna.
Selain itu, inisiatif berkenaan membuka potensi baharu untuk koperasi kecil dan sederhana menembusi pasaran ASEAN melalui konsep koperasi ke koperasi (C2C), sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi dari akar umbi.
Beliau berkata ACD2025 yang bertemakan “Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat” mendapat sokongan penuh kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi peruntukan yang diumumkan ketika Kongres Koperasi Kebangsaan pada 26 Julai 2024 berjumlah RM6 juta kepada Angkasa bagi memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik.
Abdul Fattah berkata daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM1 juta adalah peruntukan baharu khusus bagi pelaksanaan program ASEAN Co-operative sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN 2025.
Peruntukan itu, katanya bukan sahaja membuktikan keyakinan kerajaan terhadap potensi koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi rakyat, malah sebagai pengukuh jaringan ekonomi serantau serta sebagai platform memperkukuh kesejahteraan sosial di peringkat komuniti ASEAN.
Ia juga menggambarkan betapa seriusnya kerajaan dalam memastikan koperasi diberikan peranan yang lebih besar dan strategik dalam pelan pembangunan serantau, katanya.
Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata ACD2025 mendapat sokongan penuh KUSKOP dan ia merupakan program ASEAN bagi kementerian terbabit.
“Pihak kementerian juga menyampaikan ucapan tahniah dan syabas kepada Angkasa yang telah berjaya menyahut cabaran dan seruan Perdana Menteri pada tahun lepas supaya gerakan koperasi diangkat ke peringkat ASEAN melalui penganjuran program sempena Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025,” katanya.
Dianjurkan sempena Tahun Koperasi Antarabangsa dan Kepengerusian ASEAN, ACD2025 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel bakal menghimpunkan 150 peserta termasuk pemimpin koperasi negara ASEAN.
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah ASEAN Cooperative Product Showcase, ASEAN Cooperative Forum 2025 (ACF 2025) dan ASEAN Cooperative High-level Discussion 2025 (ACHLD 2025) yang akan menghasilkan satu resolusi.
-- BERNAMA