KERAJAAN SETUJU TUBUH MAJLIS PENASIHAT ASET DIGITAL DAN AI - PMO
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) yang berperanan penting untuk meletakkan negara menguasai teknologi itu, sekali gus berada di barisan hadapan dalam ekonomi digital dunia.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata penubuhan majlis itu yang merupakan satu entiti penasihat strategik selari dengan aspek teknologi aset digital dan AI yang kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi global dan daya saing negara.
“Majlis ini akan dianggotai oleh pakar dari dalam dan luar negara, pemain industri, ahli akademik serta tokoh pemikir dasar bagi memastikan pendekatan kita bukan sahaja sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa tetapi juga sesuai dengan konteks Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.
Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri telah meninjau persediaan akhir untuk sidang kemuncak bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan" itu yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 hingga 27 Mei ini.
Beliau berkata penyelarasan rapi antara kementerian serta agensi sangat penting khususnya dari aspek logistik, keselamatan, protokol dan trafik.
"Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia bertekad memastikan hasil sidang mencerminkan tindakan konkrit demi kepentingan rakyat dan negara anggota," katanya.
Tunku Nashrul berkata bagi menyokong kelancaran sidang kemuncak itu, Kementerian Pendidikan akan mengumumkan pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di kawasan terlibat.
Selain penjawat awam, sektor swasta juga katanya digalakkan melaksanakan kerja dari rumah bagi mengurangkan tekanan terhadap kemudahan awam dan infrastruktur bandar sekali gus membantu kelancaran logistik persidangan nanti.
Selain itu, beliau berkata Perdana Menteri telah mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon bersama rakan sejawatnya, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra berhubung tindakan ASEAN terhadap isu serantau, termasuk krisis kemanusiaan di Myanmar dan cabaran ekonomi akibat tarif perdagangan Amerika Syarikat.
Tunku Nashrul berkata kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala susulan lawatan kerja terdahulu, dan menyatakan komitmen untuk menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi, selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
-- BERNAMA