CHINA SOKONG MALAYSIA SEBAGAI TUAN RUMAH SIDANG KEMUNCAK ASEAN-CHINA-GCC
Daripada Kisho Kumari Sucedaram
BEIJING, 8 Mei (Bernama) — China telah menyatakan sokongannya terhadap Malaysia selaku pengerusi ASEAN, menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-China-Teluk (GCC) akan datang, sekali gus mengesahkan komitmen bersama negara-negara serantau ke arah kerjasama terbuka dan saling bermanfaat.
Jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berkata negara-negara anggota ASEAN dan GCC, merupakan ekonomi sedang pesat membangun utama di Asia selain menjadi rakan penting dalam Inisiatif Jalur dan Jalan China.
“China secara aktif menyokong Malaysia dalam penganjuran sidang kemuncak ini yang mencerminkan aspirasi kolektif negara-negara serantau untuk kerjasama saling menguntungkan," kata Lin dalam satu kenyataan.
Lin juga menegaskan kesediaan China untuk mempertahankan keadilan dan undang-undang antarabangsa serta menegakkan aturan perdagangan antarabangsa dan sistem perdagangan pelbagai hala.
Malaysia bersedia untuk mencipta sejarah menerusi peganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-China-GCC yang diadakan buat julung kalinya pada bulan ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata Malaysia telah menyampaikan jemputan rasmi kepada China untuk menyertai sidang kemuncak itu yang berkemungkinan besar dihadiri oleh Perdana Menteri China Li Qiang.
— BERNAMA