NAIB MENTERI LUAR CHINA HADIR MESYUARAT SOM ASEAN DI MALAYSIA, TEKANKAN KONSENSUS SERANTAU

Naib Menteri Luar China, Sun Weidong
09/06/2025 09:30 PM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

BEIJING, 9 Jun (Bernama) -- Naib Menteri Luar China Sun Weidong akan mengetuai delegasi menghadiri siri Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) mengenai kerjasama Asia Timur dari 10 hingga 11 Jun di Pulau Pinang, Malaysia, bagi mengukuhkan konsensus dan mempertingkat kerjasama serantau.

Dalam kenyataan pada Isnin, jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berkata China berharap mesyuarat itu dapat menyuntik momentum positif kepada pembangunan serantau.

Mesyuarat berkenaan merangkumi Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN + 3, Mesyuarat Pegawai Kanan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), dan Mesyuarat Pegawai Kanan Forum Serantau ASEAN (ARF), yang dianjurkan di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Menurut Lin, negara yang mengambil bahagian dijangka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama di bawah setiap mekanisme serta membincangkan isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.

“China berharap untuk mengadakan komunikasi yang mendalam pada mesyuarat SOM ini untuk terus membina konsensus, menumpukan kepada kerjasama, serta menyumbang kepada kestabilan dan tenaga positif bagi pembangunan serantau,” katanya.

Lin turut menyatakan bahawa mesyuarat di Pulau Pinang ini akan menjadi persediaan kepada mesyuarat pemimpin dan mesyuarat menteri luar mengenai kerjasama Asia Timur yang akan berlangsung tahun ini.

Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi 2025, dengan keutamaan terhadap pengukuhan perpaduan serantau, kemampanan, dan kemajuan ekonomi inklusif.

-- BERNAMA