HUBUNGAN LUAR, TAC ANTARA DIBINCANG ASEAN SOM MENJELANG AMM-PMC

fb Wisma Putra
10/06/2025 08:18 PM

GEORGE TOWN, 10 Jun (Bernama) -- Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN (SOM) di Pulau Pinang hari ini membincangkan usaha pembinaan Komuniti ASEAN, hubungan luar serantau serta Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Luar merangkap Pegawai Kanan ASEAN bagi Malaysia Datuk Seri Amran Mohamed Zin itu turut menyentuh persiapan rapi bagi menjayakan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-58 dan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-menteri Luar pada Julai ini. 

"Dalam ucapan, Amran merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota ASEAN dan Timor-Leste atas sokongan padu yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada 26 dan 27 Mei lepas.

"Beliau menegaskan bahawa hasil daripada Sidang Kemuncak berkenaan mencerminkan komitmen kolektif ASEAN untuk terus kekal relevan dan berperanan penting dalam landskap dunia yang semakin mencabar," menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebooknya.

Menurut kenyataan itu mesyuarat hari ini menjadi platform yang penting untuk meneliti semula keputusan yang telah dicapai oleh pemimpin ASEAN dan memastikan pelaksanaannya berjalan dengan teratur.

Malaysia juga menyatakan komitmen untuk meneruskan momentum positif ini dan menterjemahkan visi bersama kepada pencapaian yang konkrit demi manfaat dan kestabilan rantau ini, katanya. 

Pegawai-pegawai Kanan SOM ASEAN dan Timor-Leste turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan perkara-perkara berkepentingan bersama selain membincangkan kemajuan Timor-Leste ke arah keanggotaan penuh ASEAN.

Sementara itu, Amran turut mengadakan pertemuan dengan Pegawai Kanan ASEAN bagi Australia Michelle Chan di luar Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN.

Mereka membincangkan isu berkaitan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, serta bidang-bidang keutamaan Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN.

Malaysia ialah Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA