SURUHANJAYA TINGGI MALAYSIA DI NAMIBIA ANJUR FIESTA ASEAN 2025

12/06/2025 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia menganjurkan Fiesta ASEAN pada Rabu yang julung kali diadakan bagi meraikan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini selain mengetengahkan kepelbagaian dan nilai-nilai blok serantau itu.

Menurut Suruhanjaya Tinggi, program berkenaan dihadiri oleh hampir 180 orang terdiri daripada rakyat Malaysia serta komuniti Indonesia, Filipina, Thailand dan Korea Selatan serta rakyat Namibia yang merupakan ahli Persatuan Namibia Malaysia.

“Program kali ini turut menjadi platform kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia untuk mengetengahkan ASEAN serta aktiviti ASEAN termasuk makanan, tarian, kebudayaan dan aktiviti lain yang mengeratkan lagi hubungan sesama komuniti ASEAN di Namibia serta dengan rakyat Namibia,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia berkata komuniti ASEAN di Namibia  terdiri dari pelajar institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Limkokwing Kampus Namibia, International University of Managament (IUM), University of Namibia (UNAM) dan Namibia University of Science and Technology (NUST). 

Pada majlis itu Kuasa Usaha Malaysia Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya memberikan taklimat am mengenai ASEAN serta peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.

Antara tetamu penting yang hadir adalah wakil Komuniti Diplomatik di Namibia - Yakuubi Hassan serta para pegawai daripada Kementerian Luar Namibia, menurut kenyataan itu. 

Tetamu yang hadir pada program itu turut dijamu hidangan minum petang cita rasa Malaysia seperti teh tarik, nasi putih bersama rendang ayam dan daging serta dihiburkan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian Maumere dari Indonesia, tarian Tinikling dari Filipina, seni mempertahankan diri Muay Thai dari Thailand dan seni bela diri  Tae Kwon Do dari Korea Selatan.

Jemputan turut melawat gerai expo bagi setiap komuniti ASEAN serta Korea Selatan yang menyertai ASEAN Fiesta 2025 buat julung kalinya.

-- BERNAMA