SIDANG KEMUNCAK ASEAN CORAK LEMBARAN BAHARU GENERASI MASA DEPAN DUNIA

Oleh Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang baharu berlangsung dan sidang-sidang berkaitan di Malaysia menjadi medan kritikal bagi pemerkasaan sinergi serantau dan rentas sempadan serta keterlibatan strategik berorientasikan masa depan dalam mewujudkan rencana baharu daya tahan menghadapi orientasi dinamik geopolitik yang kian tidak menentu.
Peranan pendidikan tinggi, impak akademik dan penyelidikan, serta usaha penyelesaian kepada cabaran serantau dan global ini, makin terserlah di sebalik keperluan mendesak dalam menuntut arus baharu penciptaan nilai dan impak daripada kualiti pendidikan dan akademik peringkat tertinggi, dan penghasilan modal insan generasi baharu.
Dalam usaha ASEAN untuk memperkukuh integrasi dalaman dan memacu pengaruh serta kuasa baharu, kekuatan semasa tren demografi dan pertumbuhan ekonomi menawarkan peluang unik kepada rantau ini.
Peluang ini turut membawa tuntutan lebih besar untuk universiti serantau menyatukan peranan mereka bagi memastikan kejayaan visi ASEAN dalam pengumpulan bakat dan sumber kepakaran teknologi baharu.
Universiti Malaya (UM), selaku institusi pengajian tinggi terulung Malaysia, berada pada kedudukan terbaik untuk terus menerajui kecemerlangan serantau dan memupuk kerjasama dalam pembangunan modal insan serta pembangunan teknologi dan kepakaran serantau.
Kedudukan ini diperkukuh dengan konteks sejarah dan global yang berketrampilan serta kekayaan gabungan semangat kemanusiaan, kesenian, dan kekentalan skop akademik dalam menghadapi risiko dan ancaman baharu.
Kepengerusian Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah cemerlang menyuntik gelombang baharu dinamika dan peranan perluasan pengaruh dan rencana ASEAN.
Ia tidak lagi terbatas kepada takuk lama yang mengikat dimensi baharu.
Seperti dalam ungkapan Perdana Menteri semasa Sidang Kemuncak tersebut, keamanan dan kepentingan kestabilan serta usaha bersama untuk memelihara dan memupuk kebersamaan dan pembangunan serantau kekal menjadi percaturan kritikal bersama.
Dengan melibatkan pengaruh dan penglibatan baharu negara-negara kuasa Teluk (GCC) dan memperluas peranan serta pengaruh ASEAN ke arena global yang lebih luas merentas benua, kerelevanan dan potensi masa depan ASEAN menjadi landasan yang dibentuk hasil daripada tanggungjawab dan tuntutan masa depan bersama.
Dengan termaktubnya Deklarasi Kuala Lumpur 2045, Malaysia kekal menjadi peneraju kepada usaha untuk melonjak kelestarian dan keupayaan ASEAN untuk berdepan dengan cabaran dan perubahan masa depan yang kian bergolak.
Kesan gelombang perubahan ini melangkaui mana-mana sektor secara tunggal, dan impak pendidikan tinggi, bersama pulangan ekonomi daripada kelebihan demografi baharu, kekal sebagai teras utama segmen pertumbuhan baharu ASEAN.
Sinergi Indikator Kuasa ASEAN Baharu
Landskap demografi dan ekonomi ASEAN menampilkan kapasiti baharu gabungan lonjakan ekonomi, pelaburan dan perdagangan yang diperkukuh.
Purata umur median di seluruh ASEAN berada pada tahap sekitar 30 tahun.
Ia mencerminkan populasi yang kebanyakannya muda yang akan membuahkan pulangan berangkai kepada usaha memacu sektor ekonomi berlandaskan modal insan dan pembangunan sistemik teknologi.
Kira-kira 30–35% daripada penduduk ASEAN berada dalam lingkungan usia 15–35 tahun.
Ini mewujudkan kumpulan potensi dan kekuatan bagi sektor sosioekonomi, pendidikan tinggi dan penyelidikan yang ketara bagi rantau ini jika digembleng dengan strategik.
Antara 2014 dan 2023, KDNK blok ini berkembang pada kadar purata tahunan 4.0%, memperlihatkan ketahanan, walaupun di sebalik perubahan geopolitik dan ekonomi dunia.
Peranan dasar pendidikan tinggi yang berpandangan jauh adalah penting dalam memanfaatkan momentum usaha bersama serantau dalam memperkasa daya tahan dan gabungan kekuatan ASEAN.
Dengan menghasilkan generasi baharu modal insan berkemahiran tinggi yang akan membantu peralihan ekonomi rantau dan mengurangkan kebergantungan asing.
Ini akan menjadi pembekal kepada potensi penjanaan transformasi ekonomi berlunaskan kepakaran modal insan dan knowledge-driven economy.
Sistem pendidikan tinggi yang dibangunkan secara inklusif dan holistik di seluruh rantau, dengan menangani jurang sistemik dari segi geografi, keterangkuman dan akses pada peringkat intra-serantau dan intra-negara, akan membantu membentuk rantau yang lebih mampan dan inklusif.
Usaha ini penting bagi membolehkan rantau ini lolos daripada perangkap negara berpendapatan sederhana (middle income trap) serta menyokong kemajuan peralihan ekonomi, selari dengan fokus tema tahun ini yang menekankan pengukuhan sinergi dalaman keterangkuman inklusif dan lestari.
Dengan melahirkan graduan dan penyelidik yang berkeupayaan serta berorientasikan masa depan, dengan kepakaran dan kemahiran holistik berasaskan nilai dan dinamik serantau, pendidikan tinggi mampu menjadi pemacu utama perubahan.
Usaha ini akan menerajui peralihan progresif baharu ke arah reformasi dan transformasi ekonomi, selain menyuntik mobiliti sosial menyeluruh.
Ia juga berperanan dalam menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dan kemiskinan sistemik, serta membetulkan perangkap ekonomi endemik yang berpunca daripada KDNK per kapita yang relatif rendah di ASEAN dan kebergantungan kepada alat ekonomi berkemahiran serta berteknologi rendah.
Langkah konkrit harus diambil untuk memastikan kenaikan berterusan dalam Purchasing Power Parity (PPP) bagi ASEAN secara kolektif, yang dianggarkan sekitar USD 19,028 sekarang.
Reformasi dalam membangunkan generasi baharu kumpulan muda serantau yang berkemahiran dan berasaskan pengetahuan akan menyumbang kepada peningkatan kuasa beli dan perkembangan struktur kelas menengah.
Semua anggota ASEAN harus merancang kemajuan kualiti jangka panjang dalam penyertaan pendidikan tinggi, suatu langkah penting untuk pembangunan serantau yang mampan.
Malaysia telah menunjukkan kejayaan dalam hal ini di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, melalui rencana rangka strategik jangka panjang yang memanfaatkan dan memupuk infrastruktur serta kesiapsiagaan struktur, sambil menghasilkan modal insan dengan set kemahiran dan mentaliti berlandaskan nilai.
Model baharu pendidikan tinggi ini boleh diterjemahkan dalam konteks serantau ASEAN dengan pendekatan yang diglobalisasikan namun tetap berteras dan mengakar kepada persekitaran, budaya dan konteks rantau sendiri.
Pendekatan ini mampu menjadi pemacu kepada pembinaan kapasiti yang menyeluruh dalam menuai manfaat daripada kumpulan kelebihan demografi baharu bagi setiap anggota ASEAN.
Walaupun integrasi dan perkongsian pendidikan tinggi serantau menunjukkan perkembangan yang positif, masih terdapat keperluan untuk mewujudkan saluran baharu yang bersifat dinamik dan kreatif.
Usaha kritikal juga diperlukan bagi menangani kadar penyertaan pengajian tinggi di seluruh ASEAN yang puratanya hanya 40.16%, sekali gus mencerminkan jurang luas yang masih wujud di rantau ini.
Mewujudkan Ruang Strategik Baharu Bagi Sektor Masa Depan
Dalam sektor-sektor strategik akan datang seperti ekonomi digital, peralihan tenaga, dan pembangunan komuniti mampan yang berasaskan keadilan sosioekonomi serta penerimaan teknologi tinggi, peranan pelbagai pihak amat diperlukan.
Ini termasuk dalam memastikan ekosistem perdagangan, pasaran dan rantaian bekalan yang stabil dan berdaya tahan, kerana usaha dasar rasmi kerajaan sahaja tidak mencukupi.
Peranan para pendidik, pakar penyelidik, pelaku industri dan masyarakat sivil kekal kritikal dalam mengubah unjuran rantau.
Ekonomi digital ASEAN diunjurkan mencecah USD 1 trilion menjelang 2030, didorong oleh e-dagang, fintech dan ekosistem start-ups.
Universiti di rantau ini mesti secara strategik memanfaatkan peluang ini melalui usaha berterusan untuk menambah baik dan mewujudkan hab inovasi serta inkubator baharu yang menghubungkan pelajar dengan bimbingan keusahawanan.
Selain itu, mereka juga perlu membangunkan pusat penyelidikan bersama yang tertumpu pada kecerdasan buatan (AI), rantaian blok, dan keselamatan siber bagi memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang.
Dalam bidang peralihan tenaga, permintaan tenaga ASEAN diunjurkan meningkat tiga kali ganda menjelang 2050, di mana untuk mencapai sasaran 23% tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025, rantau ini memerlukan pelaburan sekitar USD 27 bilion setahun.
Usaha ini juga memerlukan pelaksanaan program penyelidikan multidisiplin yang merangkumi ekosistem berkaitan tenaga, termasuk aspek penyimpanan, integrasi grid, dan penggunaan bahan mampan.
Di samping itu, kerjasama strategik dengan industri melalui perkongsian awam-swasta penting untuk memacu projek tenaga boleh diperbaharui.
Perkongsian pendidikan tinggi serantau sedia ada, termasuk ASEAN University Network (AUN), memainkan peranan penting dalam mempromosikan jaminan kualiti, pemindahan kredit, dan program ijazah bersama dalam kalangan institusi ahli, dengan UM sebagai salah satu rakan aktif utama.
Namun begitu, usaha ini tidak seharusnya bergantung kepada satu inisiatif tunggal semata-mata.
Seperti mana pengaruh ASEAN melalui penunjuk utama tidak terhad kepada halangan geografi dan ideologi semata-mata.
Perkongsian pendidikan tinggi di rantau ini harus bergerak selari dengan nafas baharu ini.
Dengan memperdalam perkongsian utama melalui kerjasama rentas sempadan dan rentas benua, termasuk kerjasama ASEAN-EU atau ASEAN-Amerika Latin, rantau ini dapat mempamerkan kepakaran, sumber dan kelebihan terasnya dalam sektor-sektor utama sambil melengkapi kekuatan rantau-rantau lain.
Usaha kerjasama, termasuk dalam pembangunan kurikulum khususnya dalam bidang AI dan teknologi baharu, adalah penting bagi memastikan graduan di seluruh ASEAN mampu bersaing pada tahap tertinggi.
Ini secara langsung akan memperkukuh jejak serta impak penyelidikan dan akademik ASEAN di peringkat global.
Negara-negara anggota ASEAN perlu menggandakan usaha untuk meningkatkan pembiayaan bagi penyelidikan, yang akan mewujudkan kesan gelombang positif dalam pembangunan umum rantau.
Pada masa ini, negara anggota memperuntukkan secara purata 1.5% daripada KDNK kepada R&D, berbanding 2.8% di negara OECD.
Perkongsian penyelidikan global ASEAN meningkat daripada 5% pada 2010 kepada kira-kira 10% pada 2024, dipacu oleh peningkatan kerjasama, tetapi masih wujud jurang yang tinggi yang boleh diatasi bersama.
Dengan memanfaatkan kira-kira 234 juta warganegara ASEAN berusia 15–35 tahun, rantau ini berpeluang meraih dividen demografi.
Namun potensi ini hanya dapat diselarikan dengan pendidikan berkualiti yang sejajar dengan matlamat pasaran dan industri masa depan.
Sektor seperti e-dagang, kewangan digital dan tenaga bersih dijangka mewujudkan lebih 10 juta pekerjaan baharu menjelang 2030, dan ini membuka ruang baharu untuk universiti di rantau ini bekerjasama lebih lanjut.
Populasi kolektif blok ASEAN yang hampir 700 juta, umur median yang muda, dan KDNK yang semakin meningkat menjadi harapan baharu.
Universiti Malaya bersedia mengetuai usaha serantau dalam merangka penyelesaian dan kekuatan baharu kepada rantau dan rakyatnya, serta kepada kesejahteraan kemanusiaan global.
Apabila universiti di seluruh rantau mengumpulkan sumber dan kekuatan-baik intelektual mahupun infrastruktur, hasil akhirnya bukan sahaja terhad kepada rantau ini, ia membentuk masa depan generasi baharu untuk masa depan dunia.
Apabila universiti di seluruh rantau mengumpulkan sumber dan kekuatan, sama ada dari segi intelektual mahupun infrastruktur maka impaknya adalah sangat besar.
Hasil akhirnya bukan sahaja memberi manfaat kepada rantau ini, malah turut membentuk masa depan generasi baharu untuk masa depan dunia.
-- BERNAMA
Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman ialah Naib Canselor, Universiti Malaya, & Felo, Akademi Sains Malaysia