PELAPORAN KEMAMPANAN MALAYSIA RAIH PENGIKTIRAFAN GLOBAL DALAM PROFIL IFRS

13/06/2025 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Malaysia diiktiraf sebagai negara yang menerima pakai Piawaian Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) dengan peralihan terhad, mewakili satu-satunya bidang kuasa di rantau ASEAN, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

SC menjelaskan Yayasan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) mengiktiraf komitmen Malaysia terhadap pelaporan kemampanan dalam Profil Bidang Kuasa yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Pengiktirafan dalam Profil Bidang Kuasa ini menggariskan kedudukan global Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Nasional (NSRF) Malaysia,” tambah SC dalam kenyataan pada Jumaat.

SC memaklumkan NSRF yang dilancarkan pada September 2024 dan dibangunkan oleh Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kelestarian (ACSR) merupakan langkah penting dalam memajukan agenda kemampanan korporat Malaysia.

Pelaksanaan NSRF dalam penerimaan Piawaian ISSB berfasa, khususnya IFRS S1 dan IFRS S2, jelasnya.

“Bermula dengan pendekatan 'peralihan terhad', Malaysia melanjutkan pelepasan standard peralihan tertentu, termasuk pelaporan 'utamakan iklim' dan pendedahan pelepasan GHG Skop 3 yang ditangguhkan.

“Pendekatan ini memudahkan peralihan yang lancar kepada penggunaan Piawaian ISSB sepenuhnya, di samping mengiktiraf tahap dan kematangan yang berbeza-beza dalam amalan kemampanan dan pelaporan merentas syarikat,” menurut SC.

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata ACSR mengalu-alukan pengesahan ISSB, yang merupakan pengiktirafan penting terhadap usaha SC dalam menggunakan Piawaian ISSB sebagai garis dasar untuk pendedahan kemampanan di Malaysia.

“ACSR menyedari standard tinggi yang telah ditetapkan oleh Piawaian ISSB untuk pelaporan kemampanan, dan cabaran yang mungkin dihadapi oleh entiti. Kami kekal komited untuk melengkapkan entiti pelapor untuk memenuhi keperluan ini,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Hubungi Sekretariat ACSR di nsrf@seccom.com.my. untuk maklumat lain atau pertanyaan.

-- BERNAMA