MALAYSIA PENGERUSIKAN MESYUARAT JAWATANKUASA AUDIT ASEAN KE-50 DI JAKARTA

13/06/2025 02:45 PM

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Malaysia mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Audit ASEAN ke-50 yang berlangsung hari ini di Jakarta, Indonesia.

Mesyuarat berkenaan yang menghimpunkan wakil daripada 10 negara anggota ASEAN dipengerusikan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Audit ASEAN.

Jabatan Audit Negara (JAN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat itu diadakan untuk meneliti, membuat susulan dan mencadangkan penambahbaikan berkaitan penyata kewangan beraudit, penilaian operasi, sistem pengurusan risiko dan kawalan dalaman Sekretariat ASEAN.

“Selain itu, mesyuarat ini juga membincangkan Rancangan Audit Tahunan dan Laporan Audit Dalam berkaitan operasi Sekretariat ASEAN bagi memastikan tindakan penambahbaikan diambil secara berterusan agar keberkesanan kawalan dalaman dan tahap kecekapan operasinya dapat dipertingkatkan. 

“Sebagai Pengerusi Mesyuarat, Malaysia komited untuk memainkan peranan aktif dalam menegakkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti bagi meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan dan memacu daya tahan ASEAN, selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 ‘Keterangkuman dan Kemampanan’,” menurut kenyataan itu.

JAN memaklumkan dengan kerjasama erat daripada semua negara anggota ASEAN, mesyuarat itu diharapkan dapat memperkukuh tatakelola pengurusan kewangan Sekretariat ASEAN. 

Hasil mesyuarat itu seterusnya akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Wakil-Wakil Tetap ke ASEAN.

-- BERNAMA