MESYUARAT AEM PADA JULAI BAGI PERCEPAT KEMAJUAN DEFA ASEAN
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) – Malaysia akan mengadakan mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) di Bangkok pada akhir Julai untuk mempercepat kemajuan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
DEFA ialah inisiatif utama serantau yang bertujuan meningkatkan perdagangan digital merentas sempadan serta membolehkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang lebih besar dalam pasaran eksport.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata mesyuarat tersebut, yang diminta oleh penyelaras DEFA ASEAN, Thailand, penting untuk memastikan perjanjian itu mencapai penyelesaian yang ketara pada tahun ini seperti yang digariskan di bawah Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) 2024 ASEAN.
“Saya akan mengadakan mesyuarat… ia akan berlangsung pada akhir Julai di Bangkok. Pegawai-pegawai kanan telah bekerja keras dan kini ia memerlukan campur tangan di peringkat menteri. Saya masih optimis,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026–2030 di sini hari ini.
Beliau berkata antara matlamat utama DEFA ialah mewujudkan lebih banyak peluang untuk syarikat kecil terlibat dalam sektor eksport.
“Jika kita melihat kepada 18 PED yang telah diumumkan, satu daripada fokusnya ialah meningkatkan perdagangan antara negara ASEAN dan contohnya melalui penggunaan DEFA,” katanya.
Tengku Zafrul berkata perjanjian itu juga dapat meningkatkan akses kepada pasaran baharu melalui platform digital atau e-dagang.
Beliau berkata ASEAN telah menyelesaikan rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN, yang dijadualkan ditandatangani pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada Oktober.
“Kami juga telah membincangkan mengenai meningkatkan integrasi dalam Grid Tenaga ASEAN. Ini yang dilaksanakan dan diharap dapat mengurangkan halangan perdagangan, iaitu halangan tarif dan bukan tarif,” katanya.
Menyedari jurang pembangunan antara negara anggota ASEAN, Tengku Zafrul berkata usaha di peringkat serantau ini sedang dijalankan secara berperingkat untuk memastikan keadilan dan keterangkuman.
“Kami melihat banyak perbezaan antara negara-negara ASEAN dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan KDNK per kapita. Oleh itu, penting untuk kita terbuka dalam rundingan ini.
“Kita perlu mengambil kira hakikat bahawa sesetengah negara mungkin belum bersedia untuk lebih terbuka dalam dasar mereka dan kita juga perlu melindungi sensitiviti domestik.
“Di sinilah kepentingan kepusatan ASEAN dan pendirian berkecuali ASEAN. Kami melaksanakannya secara berperingkat.
“Kita memberi setiap negara tempoh masa yang berbeza untuk melaksanakan peralihan dan komitmen mereka juga berbeza,” katanya.
-- BERNAMA