MALAYSIA, POLAND MAHU PERKUKUH PERKONGSIAN ASEAN-EU, HUBUNGAN EKONOMI - PM ANWAR
PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Poland menyatakan kesediaan untuk memperdalam kerjasama antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU), memanfaatkan jawatan kepengerusian masing-masing untuk memacu perkongsian antara rantau yang lebih strategik bagi tempoh jangka panjang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyelarasan berterusan, dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan Poland menyandang jawatan presiden Majlis EU pada separuh pertama 2025, telah mewujudkan peluang diplomatik yang unik untuk memupuk hubungan ASEAN-EU yang lebih erat, khususnya dalam perdagangan.
"Lawatan Presiden Andrzej Duda ini sangat istimewa kerana beliau kini memegang jawatan presiden Majlis EU, manakala Malaysia adalah Pengerusi ASEAN.
“Perbincangan kami menyentuh tentang isu dua hala dan isu ASEAN-EU yang lebih meluas," kata Anwar pada sidang media bersama Presiden Poland itu, di sini ,hari ini.
Perdana Menteri berkata perbincangan antara ASEAN dan EU, khususnya mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), mendapat momentum baharu selepas mencatatkan kemajuan yang perlahan selama bertahun-tahun.
"Rundingan itu berlanjutan, mungkin disebabkan keutamaan yang berbeza pada masa lalu. Tetapi sepanjang tahun lepas dan terutamanya dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kita telah melihat proses yang dipercepatkan,” kata beliau.
Anwar menekankan bahawa EU, termasuk Poland, kekal sebagai rakan strategik dan ekonomi yang penting kepada Malaysia dan juga rantau ASEAN.
Sementara itu, Presiden Duda berkata satu daripada perkara utama yang dibincangkan antara kedua-dua pemimpin berkenaan adalah usaha untuk mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan negara anggota EU dari Eropah Tengah yang terlibat dalam forum 13 negara Three Seas Initiative.
"Poland memegang jawatan Presiden Majlis EU dan dan juga Three Seas Initiative dalam tempoh setengah tahun yang lalu. Saya berbincang dengan Perdana Menteri bagaimana ASEAN melihat kerjasama dengan negara-negara Three Seas Initiative, dan saya telah menjemput beliau untuk menyertai sidang kemuncak di bawah inisiatif ini pada masa depan," kata Duda.
Beliau berkata Three Seas Initiative yang hanya dianggotai negara anggota EU, menawarkan platform yang berpotensi untuk meningkatkan dialog ekonomi dan hubungan dengan ASEAN.
Duda berkata perbincangan juga meliputi isu keselamatan global, termasuk konflik Timur Tengah, pencerobohan Rusia terhadap Ukraine, dan kebimbangan mengenai penglibatan Korea Utara dalam perang.
"Poland telah lama menyokong penyelesaian dua negara di Timur Tengah, dan pendirian yang sama turut dikongsi oleh kebanyakan negara EU dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu Duda berkata, kedua-dua pemimpin turut membincangkan tentang peranan Poland sebagai jiran Ukraine, termasuk penerimaan berjuta-juta pelarian ke negara itu.
Menurutnya, beliau berharapkan perspektif daripada ASEAN mengenai perkembangan global tersebut, terutamanya dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini.
Duda berada di Malaysia sempena lawatan rasminya selama tiga hari ke negara ini dari 9 hingga 11 Jun dan diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra awal hari ini.
Pada 2024, Poland merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU, dengan jumlah perdagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada US$1.33 bilion (RM5.66 bilion) berbanding 2023.
Eksport utama Malaysia ke Poland termasuk produk elektrik dan elektronik, produk getah dan jentera, manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.
-- BERNAMA