ASEAN KEKAL RAKAN DAGANG PRODUK PERTANIAN TERBESAR CHINA
BEIJING, 10 Jun (Bernama-CMG) -- ASEAN kekal sebagai rakan dagang terbesar China membabitkan produk pertanian selama lapan tahun berturut-turut, menurut Pentadbiran Am Kastam China (GACC).
Xiamen, merupakan antara bandar yang mengendalikan sarang burung walit import terbesar di China.
Setiap minggu, bandar itu menerima bekalan sarang burung mentah dari Kuala Lumpur melalui penerbangan selama empat jam untuk diproses sebelum dipasarkan.
Menurut pihak kastam tempatan, di bawah rangka Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), perdagangan sarang burung walit antara China dengan ASEAN kini menikmati tarif sifar, sekali gus membolehkan produk berkenaan dipasarkan dengan harga mesra pengguna.
Sementara itu, di pusat sehenti perkhidmatan eksport produk pertanian di Dali, Yunnan, kelihatan trak rantaian sejuk beku yang sarat dengan muatan limau, anggur dan buah-buahan segar lain berbaris panjang untuk pemeriksaan kastam sebelum bertolak ke Vietnam melalui jalan darat.
Seorang pegawai jabatan kastam tempatan memberitahu bahawa keserasian musim menuai serta kepelbagaian buah-buahan di Yunnan dan negara-negara ASEAN telah menjadi pemacu utama peningkatan eksport buah segar wilayah itu.
Untuk rekod, buah-buahan Yunnan seperti anggur, limau, epal dan kurma segar dieksport ke negara-negara ASEAN seperti Thailand, Vietnam dan Singapura.
-- BERNAMA-CMG