MALAYSIA TUAN RUMAH FORUM KEMAHIRAN GLOBAL 2025, KALI PERTAMA DI LUAR GENEVA
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Malaysia akan menjadi tuan rumah Forum Kemahiran Global (GSF) 2025, menandakan kali pertama acara antarabangsa peringkat tinggi itu diadakan di luar Geneva.
Forum yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 22 hingga 23 Okt itu berperanan sebagai inisiatif utama di bawah Tahun Kemahiran ASEAN yang diterajui Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong pada Isnin (9 Jun) semasa acara peringkat tinggi anjuran bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, menurut Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Selasa.
Sim berkata penganjuran GSF bersempena Tahun Kemahiran ASEAN mengukuhkan keyakinan Malaysia bahawa Asia Tenggara mesti menerajui usaha membina tenaga kerja yang adil dan bersedia menghadapi masa depan.
“Adalah satu penghormatan bagi Malaysia untuk menjadi tuan rumah GSF buat kali pertama di luar Geneva. Ini mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan Malaysia dalam merintis masa depan dunia pekerjaan,” kata Sim.
GSF pertama kali dihoskan di Geneva pada 2024 di bawah penyelarasan ILO.
“Penganjuran edisi kedua oleh Malaysia menandakan keyakinan global yang semakin meningkat terhadap inisiatif pembangunan kemahiran negara dan komitmen untuk mempersiapkan rantau ini untuk masa depan pekerjaan,” kata Sim.
Tahun ini, GSF dijangka menghimpunkan lebih 200 delegasi dari 16 negara, termasuk menteri-menteri, wakil kesatuan sekerja, pakar buruh, pemimpin industri dan pegawai daripada organisasi pelbagai hala.
Keutamaan utama forum termasuk memperkukuh kerjasama serantau mengenai mobiliti kemahiran dan pensijilan buruh, mempercepat pelaburan dalam bidang kemahiran hijau dan digital serta meningkatkan perkongsian awam-swasta melalui Badan Kemahiran Sektor (SSB).
Dalam ucapannya, Sim berkata forum akan datang bukan sahaja membincangkan kemahiran masa depan, tetapi turut menekankan aspek keadilan dan keterangkuman dalam pembangunan tenaga kerja.
“Sama ada anda seorang pengekod di Hanoi, penghantar makanan di Jakarta atau pekerja kilang di Kuala Lumpur, kerja anda layak dihormati, keselamatan anda patut dilindungi dan kemahiran anda patut dilaburkan,” katanya.
Bersempena dengan acara itu, Sim turut mengumumkan peluasan platform global pembelajaran dalam talian nasional Malaysia, e-LATiH, yang kini akan menawarkan akses percuma dan tanpa sempadan kepada kandungan pemahiran semula dan peningkatan kemahiran kepada pelajar di seluruh dunia.
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia akan membuka Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 21 Jun kepada semua warga ASEAN buat kali pertama.
Program itu akan menawarkan lebih 65,000 kursus percuma dalam bidang seperti kecerdasan buatan, pendigitalan, teknologi hijau dan kepimpinan, yang disampaikan melalui format dalam talian dan fizikal.
“Ini lebih daripada sekadar acara. Ia adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menjadikan Malaysia – dan rantau ini – sebagai hab kecemerlangan kemahiran dan pertumbuhan inklusif. Kami berterima kasih kepada ILO atas perkongsian dan kepercayaan yang berterusan.
“Bersama-sama, kami berhasrat untuk menjayakan forum yang praktikal, bercita-cita tinggi dan berpaksikan rantau ini. Dari Kuala Lumpur, kami akan menghantar mesej jelas bahawa negara membangun juga mampu menerajui perbincangan global mengenai kemahiran, keadilan dan masa depan pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Malaysia turut dijangka melancarkan Dasar Sumber Manusia Negara 2024-2030 semasa forum itu sebagai model rujukan bagi kerjasama ASEAN.
-- BERNAMA