FORUM PEMBANGUNAN KOMUNITI PERNIAGAAN ASEAN 2025 SASAR 500 PESERTA DARIPADA ASEAN
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Forum Pembangunan Komuniti Perniagaan ASEAN (ABCD) yang akan dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) pada 7 Ogos, 2025, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dijangka menarik sehingga 500 peserta dari 10 negara ASEAN tahun ini.
Forum bertema ‘Empowering ASEAN’s Next Leap - Digital, Sustainable and Entrepreneurial Transformation’, menampilkan penceramah dalam kalangan pakar dari seluruh ASEAN membentangkan isu-isu penting ekonomi, perdagangan, transformasi digital dan kemampanan berkaitan dengan rantau ini.
Pengerusi FMBA Datuk Seri Abdul Malik Abdullah berkata forum itu akan memberi tumpuan kepada tiga tonggak keusahawanan, digital ASEAN dan ekonomi hijau.
Beliau berkata empat menteri dari Malaysia dijangka menghadiri forum berkenaan dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari akan merasmikan majlis tersebut.
"Kami berhasrat untuk mengadakan forum itu setiap tahundan Filipina mungkin menjadi tuan rumah tahun depan," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan FMBA dan sesi minum petang bersama media di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Malik berkata persatuan itu juga akan menganjurkan Anugerah Industri Malaysia 2025 (Minda 2025) pada hari yang sama (7 Ogos) untuk meraikan individu dan organisasi cemerlang, sumbangan mereka telah memberi kesan ketara kepada ekonomi Malaysia dan meluaskan pengiktirafan negara di seluruh Asia Tenggara.
Beliau berkata majlis anugerah itu akan memberikan 40 anugerah berprestij di bawah kategori Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Antarabangsa ASEAN, Anugerah MADANI Young Rising Star, Anugerah Kecemerlangan Wanita MADANI dan Anugerah Industri (Kecemerlangan/Inovasi/Cemerlang).
-- BERNAMA