SIDANG KEMUNCAK ASEAN: KETUA JABATAN DIBENAR PERTIMBANG PERMOHONAN KERJA DARI RUMAH

(Gambar Fail)
13/10/2025 11:31 AM

PUTRAJAYA, 13 Okt (Bernama) -- Ketua Jabatan diberi kuasa mempertimbangkan permohonan bekerja dari rumah (BDR) bagi pegawai yang tinggal dalam radius 25 kilometer dari pejabat, yang terkesan dengan kesesakan aliran trafik bersempena dengan pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN pada hujung bulan ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu selaras dengan inisiatif Kerajaan MADANI dalam mengutamakan tadbir urus berdaya tahan dan prihatin serta selari dengan nilai teras MADANI seperti kesejahteraan, ihsan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

“Pegawai awam yang layak disaran berhubung dengan Ketua Jabatan masing-masing untuk pertimbangan sewajarnya. Pelaksanaan dasar ini hendaklah berpandukan tatacara dan syarat yang telah digariskan dalam peraturan yang berkuat kuasa,” menurut JPA.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan, yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini di Kuala Lumpur, dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu.

Menurut JPA, dasar BDR bagi pegawai awam akan terus dilaksanakan secara fleksibel tertakluk kepada peraturan yang sedang berkuat kuasa.

“Dasar ini yang diperuntukkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.4.1.2, bertujuan mewujudkan keseimbangan antara keperluan agensi dalam memastikan kesinambungan tugas dan keperluan pegawai dari segi kesejahteraan serta keharmonian kerja–kehidupan (work-life balance),” katanya.

-- BERNAMA