PM ANWAR TINJAU PERSIAPAN SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-47 DI KLCC

PM Anwar meninjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN di KLCC. Turut hadir Menteri Luar Mohamad Hasan.
13/10/2025 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau persiapan menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hujung bulan ini.

Anwar meluangkan masa lebih 30 minit meneliti persiapan di lokasi itu termasuk aspek penyediaan dewan persidangan, kemudahan media serta susun atur keselamatan bagi memastikan kelancaran sepanjang persidangan berlangsung.

Hadir mengiringi Anwar ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Turut hadir Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Mohd Haikal Isa.

Semasa tinjauan itu, Perdana Menteri turut diberi taklimat oleh Mohamad mengenai persiapan logistik serta kemudahan utama yang akan digunakan pemimpin ASEAN dan delegasi antarabangsa termasuk dewan utama tempat berlangsungnya sidang kemuncak itu.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 28 Okt ini menjadi kemuncak kepada kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”. 

Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan kesemua 10 pemimpin negara anggota ASEAN bersama rakan dialog dan tetamu jemputan.

Anwar sebelum ini menyatakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu dan sidang kemuncak berkaitan dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu.

-- BERNAMA