MALAYSIA AKAN MEMUKTAMADKAN DASAR PASARAN KARBON UNTUK PERKUKUH RANGKA KERJA PERALIHAN RENDAH KARBON
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Malaysia sedang memuktamadkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan yang menyediakan rangka kerja menyeluruh untuk menetapkan hala tuju negara dalam perdagangan karbon.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar berkata dasar itu menggariskan cara negara akan menggunakan penetapan harga karbon untuk menyokong pelaburan, inovasi dan pembangunan rendah karbon.
“Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan bersama-sama akan menguatkan kesediaan Malaysia untuk pasaran karbon yang boleh dipercayai dan ditadbir dengan baik, pada masa sama meletakkan negara menyepadukan secara bermakna dengan rangka kerja serantau seperti Kerangka Karbon Bersama ASEAN (ACCF),” katanya dalam ucaptama di Forum Pasaran Karbon Malaysia 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata RUUPIN yang hampir siap dan akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi akan menjadi tulang belakang undang-undang tadbir urus iklim Malaysia, mentakrifkan peranan institusi, tugas pelaporan dan mekanisme pematuhan.
Johari berkata mekanisme penetapan harga karbon yang komprehensif diperlukan untuk melindungi pengeksport Malaysia daripada tarif hijau yang berpotensi dikenakan dan menghalang aliran keluar modal, sebaliknya boleh disalurkan ke arah inisiatif domestik untuk memacu peralihan karbon rendah negara.
Beliau juga berkata bahawa Dana Hutan Malaysia (MFF) telah memperkenalkan dua instrumen utama iaitu Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC), menyalurkan kewangan ke dalam perlindungan hutan dan Forest Carbon Offset (FCO), sistem pengkreditan kebangsaan Malaysia untuk pelepasan dielakkan, dikurangkan dan dibuang.
“Saya berbesar hati untuk mengumumkan kerjasama baharu antara MFF dan Bursa Malaysia untuk mempromosikannya, supaya sektor sektor korporat mengguna pakai FCC dan FCO.
“Bursa Malaysia dan MFF juga sedang menilai potensi FCO untuk berdagang di Bursa Carbon Exchange (BCX), menghubungkan usaha karbon domestik Malaysia dengan pasaran yang lebih luas,” kata Johari.
Beliau berkata walaupun hutan negara kekal sebagai kekuatan kritikal, Malaysia juga melihat potensi kukuh dalam penyelesaian berasaskan teknologi.
“Sebagai contoh, sektor minyak sawit dengan lebih 450 kilang di seluruh negara, menawarkan peluang berskala besar seperti pemerangkapan metana daripada efluen kilang sawit.
“Menerusi inisiatif ini, Malaysia memastikan pasaran karbon memacu tindakan iklim sebenar, menarik modal dan menyokong pertumbuhan inklusif, di peringkat tempatan dan di seluruh rantau,” kata Johari.
Beliau berkata melalui rangka kerja yang betul dan komitmen bersama, ASEAN berpotensi untuk menjadi peneraju global dalam pembangunan sejajar iklim (climate-aligned development) dan Malaysia bersedia untuk memainkan peranannya.
Pembangunan sejajar iklim adalah pendekatan strategik terhadap perancangan, pelaburan, dan pembentukan dasar, memastikan semua aktiviti pembangunan adalah konsisten dengan matlamat global untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah celsius melebihi paras pra-industri seperti ditetapkan dalam Perjanjian Paris.
-- BERNAMA