WALID DAN MENCARI RAMLEE WAKILI MALAYSIA DI FESTIVAL FILEM INDIA-ASEAN 2025

15/10/2025 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Dua buah filem - Walid and Mencari Ramlee - akan mewakili Malaysia di Festival Filem India-ASEAN 2025 yang akan berlangsung di Chennai, bermula esok hingga 18 Okt ini bersempena dengan Tahun Pelancongan ASEAN-India.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai hari ini, tayangan Walid dijadualkan esok, diikuti dengan Mencari Ramlee pada 17 Okt.

“Festival Filem India-ASEAN bertujuan memperkukuh kerjasama budaya dan hubungan antara rakyat negara-negara ASEAN dan India melalui medium perfileman - satu wadah yang berkuasa dalam penyampaian cerita dan pemahaman rentas budaya,” menurut kenyataan itu.

Konsul Jeneral Malaysia di Chennai K. Saravana Kumar berkata Festival Filem India-ASEAN bukan hanya penghargaan terhadap kreativiti para pembikin filem, tetapi juga satu penegasan semula komitmen bersama ASEAN dan India untuk memperkukuh hubungan budaya dan pelancongan.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berbesar hati menerajui inisiatif budaya ini bersempena dengan sambutan Tahun Pelancongan ASEAN-India,” katanya yang dipetik dalam kenyataan itu.

Festival Filem India-ASEAN 2025 dianjurkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai di bawah kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025 dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar India, India Tourism serta  Avichi College of Arts and Science.

Filem lain yang turut bakal ditayangkan termasuk 12th Fail dan Ponniyin Selvan  (India), Time to Fly (Thailand) dan Ah Boys to Men  (Singapura), yang menonjolkan keunikan dan kepelbagaian sinema ASEAN dan India.

Perasmian akan berlangsung di  Avichi College of Arts and Science esok yang dijangka dihadiri perwakilan ASEAN.

Dijangkakan kira-kira 200 tetamu akan menghadiri festival filem itu, termasuk pengarah  Mencari Ramlee Megat Sharizal, pelakon utama Walid; dan Eksekutif Bersekutu Layar Pictures Haslina Nor Mohamed serta anggota komuniti diplomatik, pegawai-pegawai dan pelajar serta pihak berkepentingan industri.

“Festival Filem India-ASEAN 2025 menegaskan komitmen berterusan Malaysia dalam memupuk perpaduan ASEAN, memperkasa diplomasi budaya serta memperkukuh kerjasama serantau bersama-sama India di bawah kerangka perkongsian ASEAN-India,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA