Politik Sabah: Laluan ditutup, rombongan Musa gagal masuk ke Istana Negeri

30/07/2020 05:35 PM

KOTA KINABALU, 30 Julai -- Konvoi hampir 10 buah kenderaan yang membawa bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan rombongan ke Istana Negeri untuk mengadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin tidak dapat meneruskan perjalanan selepas laluan ke istana di Bulatan Nanas itu ditutup pihak berkuasa.

Konvoi yang dipercayai membawa 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Musa berkenaan tiba di laluan masuk ke istana itu kira-kira jam 3.50 petang.  

Peguam Musa, Tengku Fuad Tengku Ahmad kelihatan keluar daripada salah satu kenderaan konvoi 33 ADUN yang sudah membuat akuan sumpah untuk menyokong Musa bagi membentuk kerajaan negeri baharu menerusi gabungan beberapa parti politik, untuk menemui anggota pihak berkuasa.

Meskipun hujan ketika ini, kenderaan membawa rombongan Musa itu dilihat masih beratur di kawasan tersebut, dan difahamkan pihak istana belum memberi kebenaran masuk.

Suasana di pintu masuk terkawal dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji turut kelihatan memantau keselamatan di situ.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.

Bagaimanapun, Musa ketika mengulas perkembangan terbaharu itu berpendapat pembubaran DUN Sabah adalah tidak perlu, membuang masa dan wang selain memudaratkan nyawa rakyat ketika negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Musa yang mendakwa mempunyai majoriti mudah iaitu 33 ADUN daripada 65 untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu tanpa perlu melalui pilihan raya lagi, berkata beliau tidak terkejut dengan pengumuman itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy