Hajiji berupaya tamatkan kemelut politik Sabah - Penganalisis

30/09/2020 01:59 PM

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 30 Sept — Pelantikan Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu pada Selasa dilihat sebagai ‘wisel penamat’ bagi segala kemelut politik melanda negeri ini, yang bergolak sejak beberapa bulan lepas.

Pemilihan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah itu juga meredakan kebuntuan serta spekulasi mengenai pembentukan kerajaan negeri baharu dan isu ketua menteri yang akan menerajui pentadbiran Sabah untuk penggal berikutnya, demikian menurut beberapa penganalisis politik tempatan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg berkata kesepakatan wakil rakyat dan pemimpin parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), merangkumi PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), memilih Hajiji sebagai ketua menteri Sabah yang baharu juga adalah sesuatu yang wajar dilakukan untuk kepentingan negeri ini.

Justeru, semua pihak perlu berlapang dada sekali gus menyokong Hajiji dalam usaha memastikan Aku Janji yang juga manifesto parti gabungan itu dapat dilaksanakan seterusnya direalisasikan sebaik mungkin demi manfaat rakyat Sabah, katanya.

“Saya yakin dengan kualiti kepimpinan dimiliki Hajiji, beliau mampu membawa Sabah ke satu dimensi lebih baik dengan pembangunan mampan seiring aspirasi rakyat di negeri ini, dengan syarat, tiada lagi kemelut politik akan berlaku,” katanya kepada Bernama.

Bagi penganalisis politik, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, pemilihan Hajiji sebagai ketua menteri baharu memperlihatkan permuafakatan dan sikap berkompromi dalam kalangan komponen GRS.

Sehubungan itu, persoalan tentang sejauh mana kemampuan Hajiji dalam mengemudi hala tuju Sabah sepatutnya tidak lagi timbul kerana beliau telah dipilih dan dilantik menjadi ketua menteri, katanya.

“Beliau mesti membuktikan keupayaan untuk memenuhi segala aspirasi rakyat. Atas sebab itu, barisan Kabinet beliau nanti harus kukuh, stabil dan berkeupayaan untuk bekerja dengan berkesan,” jelasnya.

Sementara itu, Penyelidik Geo-Politik dan Elektoral Sabah (GeOpeS) UMS Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata Hajiji diyakini mampu membawa Sabah ke satu tahap yang diingini oleh semua golongan khususnya anak-anak muda terutama dalam aspek memperkasa ekonomi digital.

Ini kerana Hajiji pastinya telah melihat segala perubahan dan permintaan dalam masyarakat kini yang lebih menjurus kepada citarasa serta suasana digembleng oleh orang muda khususnya dalam konteks ekonomi gig seperti perniagaan secara dalam talian, katanya.

“Selain itu, Hajiji juga mempunyai karakter sebagai seorang pendengar yang baik dan sentiasa mengambil tahu hal ehwal kehidupan semua orang yang dipimpinnya, dalam masa sama, berusaha memenuhi kehendak mereka,” tambahnya.

Syahruddin berkata Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu juga dilihat sebagai seorang pemimpin berwibawa, mempunyai karisma dan berpengalaman, selain rasional dalam membuat pertimbangan atas apa sahaja keputusan serta tindakan di peringkat kerajaan negeri.

Menurutnya, Hajiji mampu meraih sokongan dan disayangi oleh seluruh lapisan rakyat pelbagai kaum dan agama kerana ciri-ciri kepimpinan serta sifat kepemimpinannya yang merendah diri.

Mengambil contoh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang didiami oleh penduduk pelbagai kaum dan agama, Syahruddin berkata, Hajiji sudah tentu telah berjaya menanam semangat kekitaan dan memenangi hati rakyatnya apatah lagi beliau telah menyandang kawasan itu sejak 1990.

“Adalah menjadi satu kebiasaan bagi Hajiji untuk turun padang dan bersusah payah untuk mengambil peduli tentang apa yang dihadapi rakyat di kawasannya.

“Justeru, ini adalah pendekatan terbaik dan terpuji untuk Hajiji jadikan sebagai pendekatan menerajui kerajaan negeri Sabah dan sekali gus membolehkan beliau akan lebih disayangi oleh rakyat Sabah secara keseluruhannya,” katanya.

Hajiji yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Sulaman dengan majoriti 3,099 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 telah mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pada Selasa.

Turut mengangkat sumpah ialah tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam, selain dua menteri Kabinet iaitu Datuk Masidi Manjun yang menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah serta Datuk Jahid Jahim selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.

GRS memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah pada PRN Sabah, 26 Sept lalu, apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri ini.

— BERNAMA

 

 

 


 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy