UMNO Sabah ada autonomi tentukan calon PRN - Annuar Musa

31/07/2020 01:49 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai  - UMNO Sabah diberi kuasa autonomi sepenuhnya dalam membuat persiapan dan menentukan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata sejurus selepas pengumuman dan pengesahan rasmi Istana Negeri Sabah berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri semalam, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan membuat persiapan awal serta-merta.

Di peringkat BN, kata beliau, pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO dan beberapa ahli jawatankuasa pilihan raya parti akan bermesyuarat Ahad ini.

"Itu (calon PRN) akan diputuskan UMNO dan mengikut kita punya kaedah, ia akan ditentukan oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah.

"Tetapi oleh kerana ini merupakan PRN yang melibatkan semua kawasan DUN, UMNO Sabah juga perlu berbincang dengan rakan komponen BN, Muafakat Nasional (MN) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga parti mesra BN," katanya yang juga setiausaha agung BN.

Terdahulu, Annuar menyertai solat Sunat Aidiladha dan ibadah korban di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Kampung Sungai Penchala, Damansara, di sini, hari ini

Semalam, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan PRN yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Situasi politik di Sabah yang panas sejak kebelakangan ini memuncak apabila bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

-- BERNAMA

 

 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy