Pilihan Raya Negeri Sabah: PBS cadang bertanding 30 kerusi

04/08/2020 11:34 PM

KOTA KINABALU, 4 Ogos -- Parti Bersatu Sabah (PBS) bercadang untuk bertanding di 30 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang dan kini dalam proses memuktamadkan senarai calonnya.

Timbalan Presiden Datuk Seri Radin Malleh berkata analisis kekuatan dan sokongan parti itu di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan bahawa PBS berpotensi untuk memenangi 30 kerusi yang dikenal pasti.

"Kami hanya merancang untuk bertanding 30 kerusi kerana kami mahu bersikap wajar, realistik dan praktikal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Radin, yang mempengerusikan mesyuarat biro politik parti semalam, berkata sebilangan besar muka baharu termasuk wanita adalah antara yang dipertimbangkan sebagai calon parti itu dalam pilihan raya nanti.

Beliau berkata PBS akan menggunakan bendera sendiri, simbol berjabat tangan, setelah 16 tahun.

PBS yang dibentuk pada 1985, telah menggunakan bendera sendiri pada empat pilihan raya negeri (1985, 1986, 1990 dan 1994), tetapi setelah bergabung kembali dengan Barisan Nasional (BN) pada 2002, parti itu telah bertanding menggunakan logo BN pada 2004, 2008, 2013 dan sehingga pilihan raya umum 2018.

PBS adalah parti politik tempatan yang paling lama bertahan di Sabah dengan 61 bahagian di seluruh negeri serta di Labuan, dan dengan lebih daripada 2,000 cawangan aktif. Parti itu juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa sementara bahagian di 13 kerusi baharu.

Radin berkata PBS secara senyap-senyap bekerja keras dan mereka yakin "mempunyai apa yang diperlukan untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi dalam pilihan raya".

"Sebagai parti berbilang kaum, PBS mampu memenangi kerusi yang ditandinginya, baik di kawasan Kadazan-Dusun-Murut- Rungus (KDMR), Bumiputera Muslim dan majoriti Cina, sementara di kawasan di mana PBS tidak bertanding, kami akan menyokong calon dari parti sehaluan yang mempunyai objektif yang sama untuk mengalahkan kerajaan pimpinan Warisan,” tambahnya.

DUN Sabah dibubarkan pada Khamis, memberi laluan kepada pilihan raya negeri, yang perlu diadakan sebelum 29 Sept.

Pada pilihan raya ke-14, 60 kerusi DUN dipertandingkan namun pada Julai tahun lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menambah 13 lagi kerusi DUN di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan 73 kerusi.

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy