Gerakan belum buat keputusan sama ada bertanding PRN Sabah

05/08/2020 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos --  Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) masih belum membuat keputusan sama ada akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang, kata Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada dalam kalangan pemimpin dan akar umbi Gerakan Sabah telah menyatakan minat mereka untuk mewakili parti dalam PRN itu.

“Kami sudahpun mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) kami, dan sudah tentu kami membincangkan secara serius situasi di Sabah dan malah kami turut mengadakan mesyuarat menerusi  Zoom dengan semua pemimpin Gerakan Sabah dan meminta mereka untuk memberi maklum balas kepada kami.

“Sesetengah daripada mereka sudah memberikan maklum balas kepada kami mengenai beberapa kerusi yang mereka bercadang bertanding berserta senarai calon dicadangkan mereka, tetapi terlebih dahulu kami perlu membuat keputusan sama ada kami mahu bertanding ataupun tidak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Lau berkata terdapat banyak faktor yang mereka perlu pertimbangkan sebelum membuat sebarang keputusan, termasuk aspek sumber, calon boleh menang dan visi.

Pada Khamis lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, dengan itu pilihan raya negeri perlu diadakan.

Terdahulu pada sidang media itu, Lau mengumumkan parti itu telah memilih lima jurucakap bagi lima bidang iaitu pendidikan, alam sekitar, ekonomi, kesamarataan dan pekerjaan.

Mereka ialah Aiman Abdullah, guru di sebuah sekolah antarabangsa di Cyberjaya sebagai jurucakap pendidikan Gerakan, peguam pemindahhakkan korporat Wendy Subramaniam  (pekerjaan), usahawan Mourhrna Anetha Reddy (kesamarataan), peguam Lee Boom Shian (alam sekitar) dan pakar perubatan estetik Dr Dinesh Kumar (ekonomi).

-- BERNAMA

 

 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy