Mahkamah Tinggi tetapkan 21 Ogos keputusan berhubung pembubaran DUN Sabah

17/08/2020 03:48 PM

KOTA KINABALU, 17 Ogos -- Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada 21 Ogos sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai adalah wajar.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menetapkan tarikh itu selepas mendengar penjelasan lebih empat jam menerusi hujahan peguam mewakili  Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri, para pemohon serta Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan tiga yang lain, selaku responden.

Beliau turut membenarkan permohonan peguam Tengku Fuad Ahmad untuk menyerahkan jawapan bertulis sebagai jawapan kepada hujahan lisan oleh peguam mewakili para responden.

Mahkamah itu mendengar perkara berkaitan ‘boleh diadili” (tertakluk boleh dibicarakan di mahkamah) berikutan terdapat permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN yang dikemukakan Musa dan 32 ADUN yang menyokongnya.

Mereka menamakan Tun Juhar sebagai responden pertama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden ketiga dan Kerajaan Sabah sebagai responden keempat.

Tengku Fuad ketika membuat permohonan untuk menyerahkan jawapan bertulis, menegaskan bahawa peguam mewakili para responden telah memfailkan hujahan bertulis mereka hanya pada tengah hari 14 Ogos dan bukannya pada 10 Ogos seperti ditetapkan mahkamah.

Katanya beliau perlu menjawab hujahan dikemukakan seorang daripada peguam mewakili responden,  Chung Jiun Dau, yang tidak memenuhi arahan Shim untuk menjelaskan dari segi ‘boleh diadili” akan tindakan Tun Juhar membubarkan DUN.

"Kami (peguam mewakili kumpulan pemohon) terkejut apabila peguam mewakili responden berhujah bahawa 33 Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan tidak mempunyai locus standi untuk mempersoalkan kuasa responden pertama (Tun Juhar) dalam membubarkan Dewan Undangan Negeri," katanya.

Dalam hujahannya, Tengku Fuad berkata permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu dikemukakan selepas surat dihantar Mohd Shafie kepada Juhar yang memohon pembubaran DUN, disiarkan di platform media sosial  Twitter.

Katanya para pemohon hanya melihat Mohd Shafie "melambaikan surat itu" pada sidang media bagi mengumumkan pembubaran DUN pada 30 Julai, tetapi tidak pernah menerima salinan surat itu.

Beliau berkata persoalannya adalah sama ada surat itu berupaya memberi kuasa kepada Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN.

"Asas digunakan responden kedua  (Mohd Shafie) yang dikatakan memohon responden pertama (Tun Juhar), menerusi permohonan bertulis (surat), bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri adalah terbatas dalam Perlembagaan Sabah. Dalam kes ini, asas bagi permohonan bertulis itu dikatakan selaras Perkara 10(1)(2)(b) Perlembagaan Sabah.  

"Perkara 10(1)(2)(b) yang dikatakan itu tidak wujud dalam Perlembagaan Sabah. Sehubungan itu permohonan bertulis itu pada asasnya adalah cacat dan pergantungan tidak boleh diletakkan padanya oleh responden pertama atau mana-mana orang lain," katanya.

Tengku Fuad juga berhujah sama ada terdapat asas betul untuk Mohd Shafie memohon bagi pembubaran DUN di bawah peruntukan tidak wujud dalam Perlembagaan Sabah.

Beliau juga berkata mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan Sabah perlu ditentukan oleh mahkamah kerana mahkamah merupakan pentafsir muktamad terhadap perlembagaan negeri.

Sehubungan itu, Tengku Fuad berhujah aspek kesahihan dari segi undang-undang berhubung permohonan bertulis dibuat oleh Mohd Shafie kepada Juhar, boleh diadili.   

"Adalah jelas bahawa mahkamah perlu mentafsirkan makna, kepentingan undang-undang dan kesahihan dari segi undang-undang berhubung permohonan bertulis itu dan sama ada perkara sama berupaya memberikan kuasa perlembagaan kepada responden pertama untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri," katanya.

Tengku Fuad berhujah terdapat bahan mencukupi untuk menunjukkan di mahkamah bahawa permohonan bertulis dan pengisytiharan pembubaran DUN adalah tidak menepati syarat ditetapkan berhubung pemberian kuasa untuk membubarkan DUN di bawah Perlembagaan Sabah. 

Beliau berkata Tun Juhar tidak mempunyai asas perlembagaan untuk bertindak dan dengan itu, telah bertindak secara ultra vires ke atas kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Perlembagaan Sabah.

Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh berkata bagi kejelasan sama ada untuk memberikan kebenaran semakan kehakiman, perlu dilihat intipati dalam permohonan bertulis itu dan Mohd Shafie secara jelas memohon DUN dibubarkan.

"Pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri adalah tanggungjawab berperlembagaan responden pertama (Tun Juhar), atas nasihat responden kedua (Mohd Shafie)," katanya.

Soh juga berkata mahkamah boleh menolak permohonan kebenaran itu jika ia berpuas hati bahawa Tun Juhar mempunyai kuasa budi bicara untuk membubarkan DUN, bahawa beliau telah bertindak dalam ruang lingkup dan batasan kuasa yang diberikan kepadanya, dan sekiranya kuasa Tun Juhar dalam perlembagaan negeri untuk membubarkan DUN tidak boleh diadili.

Pendengaran hujahan mengenai boleh diadili secara panjang lebar dijalankan dengan penuh takzim oleh kedua-dua pihak yang menghujahkan kes masing-masing. Pendengaran itu berlangsung dalam keadaan terkawal, mematuhi normal baharu untuk membendung penyebaran COVID-19.

Hanya tiga pemberita daripada setiap agensi media terpilih  dibenarkan berada dalam bilik mahkamah, bersama-sama dengan empat pemohon iaitu Datuk Jahid Jahim (penyandang kerusi DUN Tamparuli), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Datuk Osman Jamal (Balung).

Sejumlah pemohon ditempatkan di luar bilik mahkamah, menunggu keputusan pendengaran itu. Pemohon pertama, Musa, penyandang kerusi DUN Sungai Sibuga, tidak kelihatan.

Dalam permohonan semakan kehakiman mereka, Musa dan kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri yang menyokong beliau memohon perintah mahkamah bagi membatalkan permohonan Mohd Shafie kepada Tun Juhar untuk membubarkan DUN; membatalkan pengisytiharan pembubaran DUN; dan membatalkan notis pewartaan kerajaan negeri Sabah berhubung pembubaran itu.

Kesemua 33 wakil rakyat itu mendakwa pada 29 Julai bahawa mereka mempunyai majoriti dalam DUN dan mahu Tun Juhar membenarkan mereka mengangkat sumpah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu, sekali gus menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Mohd Shafie.

Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna dan penyandang kerusi DUN Senallang, mendahului tindakan Musa itu dengan menasihatkan Tun Juhar untuk membubarkan DUN yang ketika itu mempunyai 65 ahli, 60 dipilih dan lima dilantik. 

-- BERNAMA

 

 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy