PRN Sabah lihat PRK Chini, Slim laksana SOP pencegahan COVID-19 - SPR

17/08/2020 09:33 PM

KOTA KINABALU, 17 Ogos -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini dan Slim, dalam merangka serta melaksana SOP pencegahan penyakit itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata SPR akan mengambil langkah-langkah pencegahan COVID-19 seperti dinasihatkan Kementerian Kesihatan, terutamanya dalam aspek penjarakan fizikal dan penggunaan cecair pensanitasi tangan yang dilaksanakan pada dua PRK itu.

Beliau berkata apa yang penting adalah kolaborasi SPR dan agensi terlibat terutama Kementerian Kesihatan untuk secara bersama merangka serta melaksanakan SOP itu, seterusnya memastikan pengundi PRN Sabah selamat daripada COVID-19.

"Selepas pengalaman kita di Chini dengan SOP COVID-19, kita masih dapat menjalankan pilihan raya dengan sempurna ... dan di Chini kita dapat lebih daripada 70 peratus pengundi datang mengundi, yakni satu angka yang lebih kurang sama dengan PRU semasa tidak ada COVID-19.

"Maksudnya dengan SOP COVID-19 pun kita boleh mencapai bilangan (pengundi) yang tinggi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berkenaan PRN Sabah di sini hari ini.

SPR hari ini telah menetapkan 26 Sept depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sabah, manakala penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 12 Sept depan dan tarikh pengundian awal adalah pada 22 Sept melibatkan lebih 1.12 juta pengundi.

Mengenai tindakan pengundi yang tidak mahu mengundi pada PRN Sabah kerana dikatakan bosan dengan senario politik negeri ini, Azmi menasihatkan mereka bahawa mengundi adalah tanggungjawab setiap rakyat bagi menentukan masa depan negara.

"Daripada segi malas mengundi, ini adalah di luar jangkaan saya, tetapi seperti biasa SPR, kita, nyatakan mengundi merupakan tanggungjawab, kami akan terus mengalakkan orang ramai keluar mengundi kerana inilah caranya menentukan masa depan, demokrasi ini merupakan sesuatu yang sangat berharga," katanya.

Beliau berkata bagi menggalakan pengundi keluar mengundi, SPR akan melaksana kempen 'Jom Kita Undi' melalui pelbagai saluran media termasuk elektronik, media sosial, cetak, hebahan siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi strategik.

-- BERNAMA

 

 

 


 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy