Semakan kehakiman bubar DUN Sabah, SPR tetap sedia teruskan PRN

17/08/2020 09:36 PM

KOTA KINABALU, 17 Ogos -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap bersedia meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN), meskipun terdapat permohonan semakan kehakiman dibuat terhadap keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata setakat ini, pihaknya tidak mendapat apa-apa arahan daripada mahkamah berhubung perkara itu.

“Setakat ini SPR tidak mendapat apa-apa arahan daripada mahkamah. Jadi kita akan terus bersedia dengan pilihan raya ini sehingga kita dapat arahan daripada mahkamah, kita akan terus dengan tanggungjawab kita,” katanya dalam sidang media bagi urusan pilihan raya DUN Sabah ke-16 di sini, hari ini.

Pada 3 Ogos, bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bersama 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memohon semakan kehakiman terhadap pembubaran DUN Sabah yang difailkan oleh firma guaman FT Ahmad and Co.

Terdahulu, pada tengah hari tadi, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 21 Ogos ini bagi membuat keputusan sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai, boleh diadili.

Pada 30 Julai lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perakuan Tun Juhar, berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum itu,  Musa pada sidang medianya mengumumkan yang beliau mendapat sokongan 32 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu. DUN dibubarkan itu mempunyai 65 ADUN.

— BERNAMA

 

 

 


 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy