Mahkamah Sabah tolak permohonan semak pembubaran DUN, pemohon failkan rayuan

21/08/2020 11:38 AM

KOTA KINABALU, 21 Ogos  -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 33 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim mendapati responden kedua dalam kes itu - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal - telah bertindak menurut Perlembagaan Sabah dalam memohon responden pertama - Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin - membubarkan DUN. 

“Responden pertama (Juhar) juga telah mengambil tindakan yang tertakluk pada bidang kuasanya untuk membubarkan DUN,” katanya semasa menyampaikan keputusan mengenai perkara itu di sini. 

Sejurus selepas keputusan itu disampaikan, kesemua 33 ADUN terbabit memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

Kumpulan 33 ADUN itu diketuai oleh bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang merupakan ADUN Sungai Sibuga.

Shim berkata pengisytiharan pembubaran DUN itu juga berperlembagaan dan sah.

Semasa menyampaikan keputusan tersebut hari ini, beliau berkata mahkamah meneliti isi kandungan, bukan bentuk permohonan bertulis (surat daripada Mohd Shafie kepada Juhar untuk membubarkan DUN).

Kumpulan 33 pemohon itu menghujahkan surat tersebut tidak sah dan tidak boleh memberikan kuasa yang ada pada Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN, justeru keputusan tersebut adalah ultra vires dengan Perlembagaan Sabah  dan boleh diadili.

Bagaimanapun, Shim berkata beliau mendapati keputusan membubarkan DUN dan pengisytiharan tersebut tidak boleh diteliti menerusi semakan kehakiman, justeru tidak boleh diadili.

Pesuruhjaya kehakiman itu juga mendapati 33 pemohon mempunyai locus standi, yang mana mereka ada kepentingan sebenar dalam isu tersebut (keputusan Juhar membubarkan DUN).  

“Selepas meneliti afidavit, hujahan bertulis dan lisan (oleh peguam pemohon), pemohon didapati memenuhi syarat locus standi,” katanya.

Kumpulan pemohon diwakili oleh sepasukan peguam diketuai oleh  Tengku Fuad Ahmad, manakala  Juhar, Mohd Shafie dan responden ketiga iaitu kerajaan Sabah, diwakili oleh Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh. 

Peguam Persekutuan Kanan Suzana Atan, dan S. Narkunavathy pula mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya, responden keempat.

Dalam permohonan mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman itu, Musa dan kumpulan ADUN yang menyokong beliau mahu mendapatkan perintah mahkamah bagi membatalkan permintaan Mohd Shafie kepada Juhar agar membubarkan DUN, membatalkan pengisytiharan pembubaran DUN, dan membatalkan warta pembubaran oleh kerajaan negeri. 

Kumpulan 33 wakil rakyat itu, pada 29 Julai,  mendakwa mereka membentuk majoriti di dalam DUN dan mahu Juhar mengadakan majlis angkat sumpah kerajaan baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan negeri yang dipimpin Mohd Shafie.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dan penyandang DUN Senallang, menghalang langkah Musa dengan menasihati Juhar agar membubarkan DUN yang mempunyai 65 ahli pada masa itu, merangkumi 60 yang dipilih dan lima dilantik.

Pada Julai tahun lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul yang membolehkan pertambahan 13 kerusi kepada DUN Sabah, menjadikan keseluruhan 73 kerusi.

 -- BERNAMA

 

 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy