KOTA KINABALU, 21 Ogos -- Parti politik bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, perlu bijak dalam usaha menarik sokongan pengundi terutama golongan muda, yang mungkin berasa bosan dengan karenah politik negeri sehingga terpaksa kembali mengundi, dalam tempoh tidak sampai tiga tahun.
Pensyarah Kanan (Kerajaan dan Politik) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah Tony Paridi Bagang berpendapat, pengundi muda merasakan undi mereka bagaikan 'komoditi' yang didagangkan bagi meraih kelebihan politik, oleh pemimpin yang mereka pilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau tidak menolak senario tindakan pengundi muda enggan keluar mengundi pada PRN Sabah kali ini, yang mana ia dikhuatiri bakal mendatangkan kesan terhadap sasaran 70 peratus, yang diletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya itu.
“Justeru, ini adalah cabaran utama kepada parti yang bertanding dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), untuk meyakinkan pengundi keluar mengundi, juga pemimpin bertanding meyakinkan pengundi,” katanya kepada Bernama.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 Sept, dengan hari pencalonan 12 Sept dan pengundian awal pada 22 Sept, membabitkan kira-kira 1.12 juta pengundi.
Bagang berkata, kerisauan rakyat terhadap ancaman pandemik COVID-19, akan turut memberi kesan langsung kepada perjalanan pilihan raya negeri ini, terutama terhadap jumlah mereka yang keluar mengundi.
“Hal ini juga sudah pasti menguji kematangan dan kebertanggungjawaban rakyat, dan para ahli politik untuk mengamalkan penjarakan fizikal dan mengikut SOP (prosedur operasi standard ditetapkan),” katanya.
Menurut beliau pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang memberi laluan kepada PRN Sabah adalah sebuah butang ‘reset’ kepada krisis politik negeri ini, bagaimanapun kesannya terhadap pengundi itu perlu diperhati dengan lebih dekat oleh parti serta pemimpin politik terlibat.
Pemandu perkhidmatan ‘e-hailing’ Grab, Johari Napih, 25, berkata ketidakstabilan politik akan memberikan kesan kepada kerajaan negeri yang dibentuk, kerana pelaksanaan dasar dan inistaif terutama demi rakyat akan terbantut, sekiranya kerajaan dan pemimpin bertukar dalam tempoh singkat.
“Umum tahu Sabah ini banyak `katak', melompat cari sokongan sana sini sehingga kerajaan (negeri) tidak kukuh. Menyampah saya, daripada saya kecil hingga besar mereka tidak berubah. Perlu ada peraturan hapuskan katak semua, supaya kerajaan boleh kerja untuk rakyat,” kata pengundi DUN Tempasuk, Kota Belud dekat sini.
Untuk rujukan, ‘katak’ yang dimaksudkan ialah ahli politik yang melompat parti.
Pekerja penghantaran gas memasak Mohd Khairul Tazul, 24, mengakui agak tawar hati mengundi kerana kerenah politik negeri, dan akan menilai sebaiknya calon bertanding di DUN baharu Pantai Dalit, Tuaran kawasan mengundinya pada PRN Sabah kali ini.
“Pengundi muda lebih melihat kepada calon, terutamanya kredibiliti dan peribadi, kemudian baru lihat parti. Jika saya lihat calon bertanding tiada seperti dimahukan saya rela tidak mengundi. Beri peluang kepada calon muda baharu, bukan calon lama katak suka melompat sana sini,” katanya.
Cadangan memberi lebih banyak peluang kepada calon muda itu disokong Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah Mustamam Mustain, yang menurut beliau calon muda boleh memberi idea baharu dan segar buat pembangunan Sabah, selain menarik sokongan pengundi muda.
“Tidak mustahil kemenangan parti pada pilihan raya kali ini ditentukan oleh anak muda itu sendiri, maka gunakan sebaiknya pilihan raya ini bagi memilih pemimpin muda, yang dapat memberi idea baharu bagi membawa penambahbaikkan diharapkan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
ABOUT US
Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Categories
• General
• Business
• Sports
• Politics
• World
• Features
• Thoughts
• Infographics
• Videos
• Images
• Exclusive Press
Copyrights