Mahkamah Rayuan sambung pendengaran kes pembubaran DUN Sabah

08/09/2020 01:20 PM

PUTRAJAYA, 8 Sept -- Mahkamah Rayuan tengah hari tadi menyambung semula pendengaran rayuan kes berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mula mendengar rayuan itu semalam dan terpaksa menangguhkan ke hari ini selepas mendengar sebahagian dafripada hujahan sehingga petang semalam.

Dua anggota panel hakim tersebut ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian.

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli DUN merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN.

Mahkamah sedang mendengar hujahan daripada peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, mewakili 33 ADUN berkenaan, Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh, mewakili Tun Juhar dan Datuk Dr Cyrus Das mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan kerajaan negeri Sabah.

Firoz menyelesaikan hujahannya semalam manakala Das akan menyambung hujahannya hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan pembubaran DUN Sabah, SPR menetapkan 12 Sept ini sebagai tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian pada 26 Sept .

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy