Selepas hujahan, Mahkamah Rayuan berhenti sekejap "untuk bincang secara serius" rayuan pembubaran DUN Sabah

08/09/2020 05:08 PM

PUTRAJAYA, 8 Sept -- Mahkamah Rayuan berhenti bersidang selama 25 minit pada 3.45 petang  “untuk membincangkan kes secara serius” selepas mendengar hujahan berhubung rayuan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim yang juga dianggotai Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Supang Lian, berkata panel perlukan masa untuk membincangkan kes itu secara serius.

Panel itu telah mendengar hujahan daripada peguam mewakili 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diketuai bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan mereka bagi kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan DUN pada 30 Julai.

Mahkamah turut mendengar hujahan peguam mewakili empat responden iaitu Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; kerajaan negeri Sabah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sekiranya mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada Musa dan 32 ADUN yang lain, kes itu akan dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit permohonan semakan kehakiman itu. Jika sebaliknya, keputusan Mahkamah Tinggi akan kekal. Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan hari ini masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu, ke Mahkamah Persekutuan.

Pendengaran hujahan bermula semalam dengan peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mengemukakan hujahan bagi 33 ADUN berkenaan.

Kemudian, Peguam Besar Negeri Sabah Keith Soh yang mewakili Tun Juhar; peguam Datuk Cyrus Das, mewakili Mohd Shafie dan kerajaan negeri mengemukakan hujahan masing-masing.

Mahkamah hari ini diteruskan dengan Das menyambung hujahannya dan kemudian mendengar hujahan dikemukakan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili SPR serta hujahan balas oleh Firoz bagi menjawab hujahan para responden.

Mahkamah Tinggi semasa menolak permohonan 33 ADUN berkenaan pada 17 Ogos, memutuskan Mohd Shafie telah bertindak dalam ruang lingkup Perlembagaan Sabah semasa memohon Tun Juhar membubarkan DUN dan berkata pengisytiharan untuk membubarkan DUN adalah mengikut perlembagaan dan sah.

Dalam permohonan semakan kehakiman mereka, Musa dan ADUN yang menyokong beliau memohon perintah mahkamah bagi membatalkan permohonan Mohd Shafie kepada Tun Juhar untuk membubarkan DUN; membatalkan pengisytiharan pembubaran DUN; dan membatalkan notis pewartaan kerajaan negeri Sabah berhubung pembubaran itu.

Kesemua 33 wakil rakyat itu mendakwa pada 29 Julai bahawa mereka mempunyai majoriti dalam DUN dan mahu Tun Juhar membenarkan mereka mengangkat sumpah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu, sekali gus menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Mohd Shafie.

Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna dan penyandang kerusi DUN Senallang, mendahului tindakan Musa itu dengan menasihatkan Tun Juhar untuk membubarkan DUN yang ketika itu mempunyai 65 ahli, 60 dipilih dan lima dilantik. 

Susulan pembubaran DUN, SPR menetapkan 12 Sept bagi penamaan calon dan pengundian pada 26 Sept bagi pilihan raya negeri Sabah ke-16.

-- BERNAMA 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy