Lebih 100 petugas polis Sarawak bantu Pilihan Raya Negeri Sabah - Pesuruhjaya Aidi

10/09/2020 02:02 PM

KUCHING, 10 Sept  -- Sebanyak 138 orang pegawai dan anggota polis dari Sarawak selain 80 aset kenderaannya akan digerakkan ke Sabah bagi membantu mengawal ketenteraman awam sepanjang tempoh pilihan raya negeri itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata petugas terlibat yang akan berada di Negeri di Bawah Bayu itu selama 14 hari terdiri dari tiga orang pegawai, 30 orang anggota Cawangan Khas, 91 orang anggota Trafik dan 14 orang pemandu. 

"Kita sedang dalam proses penghantaran (anggota dan aset kenderaan ke Sabah), sebahagiannya sudah dalam perjalanan ke sana," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kereta Peronda Honda Civic 1.8S di Dewan Terbuka, Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Jalan  Badruddin, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Sept ini sebagai tarikh mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah manakala 12 Sept sebagai tarikh penamaan calon.

Mengenai penyerahan kenderaan itu, beliau berkata 27 buah kereta peronda model Honda Civid 1.8s yang dilengkapi peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka dan perakam video digital telah diterima untuk kegunaan Polis Sarawak.

Aidi berkata Polis Daerah Kuching akan menerima lima unit daripada keseluruhan kenderaan baharu itu, sementara daerah Padawan, Sibu dan Miri masing-masingnya diperuntukkan empat, Kota Samarahan, Bintulu, Limbang dan Unit Polis Pelancong masing-masingnya dua unit, Sarikei dan Sri Aman pula seunit setiap satu.

Beliau berkata penggunaan kereta peronda baharu itu akan dapat meningkatkan lagi keupayaan Polis Sarawak bagi membolehkan warganya bertindak lebih cekap dan pantas sewaktu menerima panggilan kecemasan daripada masyarakat yang memerlukan bantuan. 

"Saya berharap dengan penambahan jumlah kereta peronda kepada yang lebih canggih ini dapat dimanfaatkan (anggota polis)  sepenuhnya dalam menjalankan tugas di daerah masing-masing," katanya.

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy