KOTA KINABALU, 10 Sept -- Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akur dengan pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan parti itu bertanding di lapan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini.
Presidennya Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata walaupun tidak gembira dengan pembahagian kerusi itu, STAR menerima secara terbuka keputusan berkenaan atas dasar setiakawan dan semangat berpasukan antara parti gabungan PN.
“Kami harus terima yang kami sepasukan ... kami akan terus bersama PN kerana PN ditubuhkan oleh kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon PN pada PRN Sabah oleh Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Hajiji Noor, di sini hari ini.
Baru-baru ini Jeffrey dilaporkan berkata beliau tidak teragak-agak untuk membawa STAR keluar daripada PN sekiranya tidak mendapat sekurang-kurangnya 15 kerusi pada PRN Sabah kali ini.
Terdahulu, Hajiji ketika mengumumkan senarai calon PN, berkata parti gabungan itu akan bertanding di 29 kerusi dengan masing-masing 19 oleh Bersatu, lapan oleh STAR dan dua lagi oleh Parti Maju Sabah (SAPP).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Sept sebagai tarikh mengundi manakala penamaan calon pada Sabtu ini.
Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN Sabah kali ini.
--BERNAMA
ABOUT US
Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Categories
• General
• Business
• Sports
• Politics
• World
• Features
• Thoughts
• Infographics
• Videos
• Images
• Exclusive Press
Copyrights