Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 11 Sept -- Penganalisis menjangkakan pertandingan antara lima hingga enam penjuru di 73 kerusi yang menjadi rebutan pada pilihan raya negeri Sabah akhir bulan ini.
Penyelidik Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg berkata persaingan ini dijangka melibatkan 70 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan.
Hari penamaan calon pilihan raya negeri ditetapkan pada Sabtu ini dan pengundian pada 26 Sept.
Beliau berkata kebanyakan calon terdiri daripada muka baharu yang telah pun memulakan hubungan baik dengan penduduk kampung dan bersedia menghadapi persaingan pilihan raya.
Muka baharu itu terdiri daripada pemimpin muda yang baru naik serta pesara kerajaan, pemimpin perniagaan dan wakil NGO, kata Romzi dalam wawancara dengan Bernama di sini.
“Muka baharu ini dijangka akan menambah kuorum dalam proses penamaan, meningkatkan bilangan calon (di setiap kawasan) kepada lebih dua orang. Mereka juga dilihat lebih kerap dengan penduduk dan ahli jawatankuasa kampung.
“Mereka sebenarnya tak berpihak dan sudah pasti akan bertanding sebagai calon bebas,” katanya.
Romzi berkata berdasarkan kajiannya, pertandingan pelbagai penjuru itu akan berlaku di kawasan majoriti Melayu di pantai timur dan pantai barat Sabah berikutan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Sabah (PCS) diketuai bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau berkata pengumuman untuk kembali aktif dalam politik oleh bekas ketua Menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat bagi mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP) yang diasaskannya juga akan menyumbang kepada peningkatan bilangan calon.
Pilihan raya snap (mengejut) itu juga akan menyaksikan kembalinya parti-parti lama yang berpangkalan di Sabah, satu daripadanya, adalah spekulasi USNO serta parti yang baharu didaftarkan, katanya.
Romzi, yang menjalankan penyelidikan mengenai politik Malaysia dan global kontemporari berkata pilihan raya mengejut itu sebenarnya pertarungan antara Perikatan Nasional (PN)/Barisan Nasional (BN) dan Warisan Plus.
“Bagi pakar politik dan pemerhati, pilihan raya Sabah sentiasa unik dengan kemunculan isu lama dan baharu semasa tempoh kempen,” katanya.
Penganalisis itu juga berkata desas-desus semakin kuat mengatakan bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum mungkin bertanding dalam pilihan raya itu selepas Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak menafikannya.
“Ini sudah pasti akan meningkatkan jumlah muka baharu dalam penamaan calon. Bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan penarikan sebahagian muka baharu terutama mereka yang bertanding atas tiket bebas,” katanya.
PN di Sabah merangkumi Bersatu, PAS, Sabah STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) manakala BN mempunyai UMNO Sabah, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai sekutunya.
Warisan Plus terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP, Amanah dan PKR serta UPKO.
-- BERNAMA
ABOUT US
Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Categories
• General
• Business
• Sports
• Politics
• World
• Features
• Thoughts
• Infographics
• Videos
• Images
• Exclusive Press
Copyrights