PRN Sabah: SPR bersedia kendali proses penamaan calon esok

11/09/2020 03:14 PM

KOTA KINABALU, 11 Sept -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bersedia dengan segala persiapan untuk mengendalikan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Pengarah SPR Sabah Rohiman Rahia berkata pihaknya membuat persiapan rapi di semua 73 pusat penamaan calon, yang antara lain terdiri daripada dewan masyarakat dan sekolah, bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar.

“Proses penamaan calon akan berlangsung selama satu jam bermula 9 pagi hingga 10 pagi. Tiada tempoh bantahan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Rohiman juga berkata tiada perkumpulan beramai-ramai penyokong atau perarakan penyokong parti mengiringi calon ke pusat penamaan calon dibenarkan dan menurutnya, hanya tiga orang sahaja iaitu calon bertanding, seorang penyokong dan pencadang dibenarkan berada di pusat berkenaan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membendung penularan COVID-19 semasa proses penamaan calon berlangsung.

“(Calon, pencadang dan penyokong) disaran untuk datang awal, patuhi peraturan SOP dan pastikan semua dokumen diperlukan lengkap,” kata Rohiman.

PRN Sabah bakal menyaksikan pertandingan bagi merebut 73 kerusi DUN, dengan sebanyak 13 kerusi baharu iaitu N02 Bengkoka; N06 Bandau; N08 Pintasan; N13 Pantai Dalit; N17 Darau; N24 Tanjung Keramat; N27 Limbahau; N44 Tulid; N47 Telupid; N51 Sungai Manila; N58 Lamag; N61 Segama dan N70 Kukusan.

SPR telah menetapkan esok sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 22 Sept dan hari mengundi biasa pada 26 Sept.

Seramai 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya berkenaan dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan mengundi pada PRN Sabah kali ini.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

-- BERNAMA

 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy