IPOH, 11 Sept -- Lebih 400 pegawai dan anggota tambahan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk dari Bukit Aman dihantar ke Sabah bagi membantu menjaga aspek keselamatan sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN), yang bermula dengan penamaan calon, esok.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata antara pegawai dan anggota polis yang ditugaskan sepanjang kempen PRN Sabah adalah dari Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.
"Saya nampak ia tidaklah begitu membebankan (tidak hantar ramai pegawai dan anggota dari Bukit Aman) ke Sabah kerana Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Hazani Ghazali) yakin ia mampu mengawal PRN dengan kekuatan pegawai dan anggota dari negeri itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) PDRM sebagai “Organisasi Latihan Diiktiraf - Organisasi Latihan Penerbangan' (ATO-FTO) dan ‘Organisasi Latihan Diiktiraf - Organisasi Latihan Penerbangan Mengikut Pengkelasan Pesawat‘ (ATO-TRTO) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di PLPGU Ipoh di sini, hari ini.
Menurut Abdul Hamid, PDRM sentiasa berusaha memastikan untuk mengelak sebarang pembaziran dalam perbelanjaan pasukan itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Sept ini sebagai tarikh mengundi untuk PRN Sabah manakala 12 Sept sebagai tarikh penamaan calon.
Mengenai pusat latihan PDRM itu, Abdul Hamid berkata PLPGU Ipoh menjadi pusat latihan penerbangan yang pertama di bawah Kementerian Dalam Negeri, diiktiraf oleh pihak CAAM.
Beliau berkata ia sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan untuk melatih seseorang juruterbang atau pembantu juruterbang ke luar negara atau institusi swasta dengan kos yang agak mahal kerana PDRM kini mempunyai kemudahan sendiri.
"Mereka CAAM berpuas hati bahawa pangkalan ini memang telah memenuhi keperluan dan syarat serta mempunyai kemudahan tertentu untuk menjadi sebuah pusat latihan penerbangan,” katanya sambil berterima kasih kepada CAAM.
-- BERNAMA
ABOUT US
Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Categories
• General
• Business
• Sports
• Politics
• World
• Features
• Thoughts
• Infographics
• Videos
• Images
• Exclusive Press
Copyrights