Warisan Plus: Agihan kerusi bukan mudah, dibuat secara konsensus - Mohd Shafie

11/09/2020 05:36 PM

SEMPORNA, 11 Sept  -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui proses pengagihan kerusi dalam kalangan gabungan Warisan Plus bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan mudah namun menegaskan ia dibuat secara konsensus.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata perkara itu telah dirundingkan bersama rakan sekutu seperti Amanah, DAP, PKR dan UPKO dengan beliau sendiri turut memantau dan menilai pelbagai aspek sebelum memutuskan untuk meletakkan calon parti bersesuaian di satu-satu kawasan. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan program ramah mesra bersama penduduk di Masjid Jamek Kampung Bantayan di sini hari ini. 

Mohd Shafie diminta mengulas mengenai agihan kerusi kepada PKR yang hanya diberikan tujuh kerusi bagi PRN ini, separuh daripada jumlah yang diminta oleh parti itu. 

Tujuh kerusi berkenaan ialah Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Klias dan Sook.

Menerusi pengumuman calon semalam, Warisan mendapat 46 kerusi, UPKO (12 kerusi), DAP (tujuh kerusi),  PKR (tujuh kerusi) dan Amanah (satu kerusi), menyaksikan mereka bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah. 

Mohd Shafie turut menafikan dakwaan kononnya Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew dan sekumpulan anggota PKR keluar dari dewan ketika pengumuman calon dibuat, disebabkan tidak berpuas hati dengan soal pembahagian kerusi. 

“Tidak benar, dia (Christina) hanya keluar kerana ada urusan lain,” katanya.

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy