PRN Sabah: BN, rakan sekutu PN, PBS bertembung di 17 kerusi

12/09/2020 11:00 PM

KOTA KINABALU, 12 Sept -- Barisan Nasional (BN), rakan sekutunya daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan bertembung di 17 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

DUN terbabit :

  1. Bengkoka
  2. Matunggong
  3. Tandek
  4. Kadamaian
  5. Tanjung Aru
  6. Kapayan
  7. Moyog
  8. Lumadan
  9. Paginatan
  10. Tambunan
  11. Bingkor
  12. Liawan
  13. Melalap
  14. Tulid
  15. Sook
  16. Telupid
  17. Karamunting                                                                                                                      

Dalam pertembungan tiga sekawan di 17 kerusi itu, antara lokasi yang menarik ialah DUN Bengkoka yang menyaksikan calon BN Harun Durabi, juga bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kudat akan berdepan calon muka baharu iaitu Penolong Setiausaha PBS Bahagian Banggi, Dr Samuil Mopun dalam pertandingan 11 penjuru.

Pertembungan antara rakan sekutu di DUN Matunggong pula melibatkan penyandang Julita Mojungki daripada PBS akan berdepan dengan Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Richard Kastum yang merupakan calon BN, bagi mempertahankan kerusi tersebut. 

Turut menarik tumpuan ialah DUN Tandek yang menyaksikan pertembungan antara calon paling muda dalam edisi kali ini yang mewakili BN iaitu Ketua Bahagian PBRS Tandek, Yillson Yanggun ditentang Timbalan Ketua Bahagian PBS Tandek Hendrus Anding.

Lebih menghangatkan kerusi DUN Tandek apabila penyandangnya Datuk Anita Baranting turut bertanding bagi mempertahankan kerusi tersebut dalam pertandingan enam penjuru.

Manakala di DUN Kapayan pula menyaksikan Pengerusi MCA Sabah Lu Yen Tung mewakili BN, bertembung dengan bekas ADUN Kapayan Datuk Dr Edwin Bosi daripada PBS dalam pertandingan tujuh penjuru.

Bagi DUN Melalap pula, calon BN Jamawi Jaafar akan berdepan calon PBS Datuk Radin Malleh yang merupakan Timbalan Presiden PBS juga bekas ADUN Melalap sejak 1999 sehingga 2018 dalam persaingan enam penjuru yang turut menyaksikan penyandangnya iaitu Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony turut bertanding untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Persaingan merebut kerusi DUN Bingkor dan DUN Tambunan juga akan menjadi tumpuan apabila penyandangnya Robert Tawik (PN-STAR) dan Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan akan berdepan  pencabar mereka yang merupakan rakan sekutunya PBS masing-masing diwakili Peter Jino Allion dan Silverius Bruno.

Situasi sama berlaku di DUN Moyog yang menyaksikan calon PN-STAR Joe Suleiman akan bertemu dengan calon PBS John Chryso Masabal dalam pertandingan tujuh penjuru yang turut menyaksikan bekas  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking akan bertanding atas tiket Warisan.

PRN ke-16 ini juga menyaksikan satu lagi drama politik antara BN, PN dan PBS apabila kesemuanya bersaing untuk merebut dua kerusi iaitu di DUN Paginatan dan DUN Tulid. 

PRN kali ini menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan termasuk 13 kerusi baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 22 Sept.

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy