Pengundi Sabah di Labuan diminta daftar dengan pejabat UMNO

13/09/2020 02:56 PM

LABUAN, 13 Sept -- Lebih 10,000 pemilih berdaftar di pulau bebas cukai di sini diminta mendaftarkan nama, stesen dan saluran mengundi mereka dengan pejabat UMNO Labuan mulai Khamis ini.

Langkah itu untuk memudahkan mereka kembali ke tanah besar Sabah untuk pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Labuan, Senator Datuk Bashir Alias.

Beliau berkata UMNO Labuan telah memulakan inisiatif untuk mengumpul maklumat pengundi bagi membantu calon UMNO yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin (Sani Miasin) dan Datuk Kamarlin Ombi bagi kerusi DUN Lumadan.

“Sudah pasti, pejabat sekretariat kami juga akan membantu menyalurkan maklumat pemilih berdaftar  kepada calon di bahagian lain di Sabah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Labuan Mohd Dzulfaizal Abd Manan berkata pihaknya akan menyelaras dengan rakan mereka di bahagian lain berhubung jumlah pengundi berdaftar mengikut stesen mengundi masing-masing.

“Bilik operasi akan dibuka minggu ini dan akan melihat bidang bantuan yang diperlukan oleh pengundi untuk melakukan perjalanan ke tanah besar Sabah,” katanya.

Pemilih berdaftar bagi PRN Sabah boleh memeriksa maklumat stesen dan saluran mengundi sejak 7 Sept lalu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak dilaporkan berkata pengundi boleh memeriksa butiran dengan melayari portal SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau aplikasi MySPR Semak untuk membuat semakan.

Awal minggu ini, SPR sudah mula mengedarkan kad pengundi kepada 1,103,646 pengundi bagi memudahkan pengundi merancang untuk keluar mengundi pada 26 Sept ini.

Kad pengundi ini mengandungi maklumat tentang pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan.

-- BERNAMA

 

 


 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy