Oleh Rohana Nasrah dan Mohd Faizal Hassan
KOTA KINABALU, 13 Sept -- Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, yang masuk hari kedua hari ini, mula mendapat momentum apabila calon-calon bertanding dilihat gigih mendekati rakyat seawal pagi dengan pelbagai program serta aktiviti yang diatur bagi mendapatkan sokongan dan perhatian pengundi.
Tinjauan Bernama mendapati ada calon yang menggunakan bot, pergi ke pasar awam, pusat tumpuan orang ramai, kedai makan, gelanggang futsal, dewan masyarakat dan beberapa tempat tumpuan lain untuk meraih undi.
Calon Warisan Plus bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan Jannie Lasimbang dilihat menghadiri acara kebudayaan di Dewan Kampung Nagasiba, Penampang, kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar raya untuk mendekati penduduk kawasan itu.
Pada acara berkenaan, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri itu turut mempamerkan bakat memalu Magagong, sebelum mengedarkan risalah mengenai maklumat peribadi dan pencapaiannya sepanjang dua tahun menyandang kerusi tersebut selepas memenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Tanjung Aru Mohd Reduan Aklee pula menggunakan bot ke Pulau Gaya untuk bertemu penduduk di situ sambil mendengar isu atau permasalahan, khasnya penempatan yang lebih selesa dan keperluan air bersih.
Sebagai calon muka baharu, Mohd Reduan, ditemani Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendekati orang kampung sambil diajak bergambar.
Sementara itu, calon Parti Bersatu Sabah (PBS) di DUN Kapayan Datuk Dr Erwin Bosi ketika ditemui Bernama, dilihat menyantuni masyarakat di lot perniagaan di sekitar pekan Donggongon, di samping memanfaatkan media sosial untuk mengetahui perkembangan terkini di DUN, yang pernah diwakilinya setelah memenangi pada PRU13 lepas.
Calon-calon juga menggunakan kesibukan dan kemeriahan Tamu Gaya, lokasi tumpuan pelancong yang menjual pelbagai barangan menarik, antaranya cenderamata, buah-buahan tempatan dan kraftangan untuk mendekati pengundi dan masyarakat setempat.
Antara calon yang berkempen ialah calon BN Dr Chang Kee Ying, Datuk Christina Liew (PKR), Tan Sri Chong Kah Kiat (LDP) dan Tan Lee Fatt (DAP) yang mengedarkan risalah mengandungi mesej parti serta tawaran-tawaran mereka kepada pengundi.
Tinjauan Bernama juga mendapati petugas parti memasang bendera dan poster di sekitar DUN Kapayan, Moyog, Likas dan Luyang bagi memeriahkan lagi kempen pilihan raya selain kelibat petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memantau pengendalian kempen dan kepatuhan prosedur operasi standard COVID-19 di DUN Tanjung Aru.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Syahruddin Awang Ahmad memberitahu Bernama, kempen yang bermula seawal hari penamaan calon kelmarin menuntut para calon untuk mengetengahkan jaminan dan jawapan kepada isu-isu semasa yang begitu dekat dengan pengundi.
“Ia perlu seperti nasihat kepada pengundi dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 dan usaha-usaha di pihak calon menerusi parti masing-masing bagi meringankan beban sosio-ekonomi rakyat di kawasan tersebut,” kata pensyarah kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS tersebut.
PRN kali ini menyaksikan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan termasuk 13 kerusi baharu untuk direbut 447 calon dari 16 parti bertanding termasuk Bebas.
SPR menetapkan 26 Sept sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 22 Sept dan sebanyak 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya berkenaan.
PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lepas, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.
-- BERNAMA
ABOUT US
Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Categories
• General
• Business
• Sports
• Politics
• World
• Features
• Thoughts
• Infographics
• Videos
• Images
• Exclusive Press
Copyrights