Bergerak dalam kumpulan kecil, platform media sosial pilihan cara berkempen

14/09/2020 06:47 PM

KOTA KINABALU, 14 Sept  -- Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Shahelmey Yahaya memilih bergerak dalam kumpulan kecil untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 semasa berkempen.

Beliau berkata cara sedemikian lebih praktikal dan sesuai ketika ini kerana negara masih dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Semasa berkempen saya bersama beberapa anggota jentera parti akan berkempen dari rumah ke rumah, selain beramah mesra dengan peniaga di premis perniagaan yang ada di kawasan ini. 

"Ketika berkempen saya lebih kepada memperkenalkan diri kepada semua pengundi dengan mengedarkan risalah kerana saya merupakan calon muka baharu yang bertanding di kerusi DUN baharu Tanjung Keramat," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di kawasan premis kedai di Putatan, dekat sini hari ini.

Tanjung Keramat, satu daripada 13 DUN baharu di Sabah dan di bawah kawasan Parlimen Putatan, mempunyai 14,350 pengundi.

Shahelmey berdepan pertandingan lima penjuru bersama Rosdy Wasli dari Amanah, Mohd Salleh Lamsin dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Ira Uzair dari Parti Cinta Sabah (PCS) dan Faezah Ibnu dari Parti Liberal Demokratik (LDP).

Katanya dalam masa terdekat ini beliau akan turut mengunakan platform media sosial untuk berkempen, khususnya kepada pengundi muda.

"Saya rasakan ini adalah inisiatif yang sesuai untuk berkempen kepada golongan muda yang lebih banyak menggunakan media sosial," katanya.

Beliau berkata misi dan visinya untuk Tanjung Keramat ialah berteraskan tiga perkara iaitu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat, membangunkan sumber manusia berasaskan ilmu pengetahuan serta menggiatkan aktiviti ekonomi dan perniagaan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk.

Ditanya mengenai keyakinannya untuk menang, beliau berkata berdasarkan maklum balas dan penerimaan pengundi di kawasan itu selepas tiga hari berkempen, keyakinan untuk menang adalah tinggi.

"Semasa berkempen saya lihat para pengundi menerima saya dengan baik… namun saya perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada saya," katanya.

-- BERNAMA

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy