Kempen mulai hangat di kubu kuat Warisan, Semporna

14/09/2020 06:57 PM

Oleh Hasnah Jusid

SEMPORNA, 14 Sept  -- Siri kempen di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Semporna semakin rancak dengan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin giat mendekati pengundi.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat antara yang agak agresif berkempen di kubu kuatnya di sini sebaik sahaja diumumkan calon bagi mempertahankan kerusi DUN Senallang, Sabtu lalu.

Ketua Menteri itu mengorak langkah dengan mengunjungi Pulau Bum Bum yang mengambil masa perjalanan kira-kira 10 minit dari pekan Semporna dengan menaiki bot. 

Berdepan dengan pertandingan lima penjuru, Mohd Shafie meluangkan masa dari tengah hari  hingga lewat malam pada hari pertama berkempen dengan mengunjungi kawasan perkampungan di pulau itu yang mempunyai kira-kira 32,000 penduduk.

DUN Senallang, Sulabayan dan Bugaya terletak di bawah Parlimen Semporna. 

“Sebanyak 80 peratus kaedah berkempen saya gunakan adalah dengan bertemu dan mendampingi. Tidak semua ada kemudahan telefon dan internet. Kalau kita berjumpa pengundi, mereka boleh lihat wajah kita,” katanya.

Pada hari kedua dan ketiga berkempen, Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna,  turut menjelajah dan berkempen di beberapa kampung sekitar Semporna sebelum ke kawasan lain iaitu Kunak, Lahad Datu serta Tawau bagi membantu kempen partinya.

Menerusi pemerhatiannya, sambutan dari segi kehadiran penduduk ke majlis kempen amat memberangsangkan. 

Sementara itu, lain pula ceritanya bagi pencabar Mohd Shafie, Norazman Utoh Nain, calon Perikatan Nasional (PN) apabila beliau terlebih dahulu membuka tirai kempennya dengan bertemu ketua masyarakat dan kaum di sekitar DUN Senallang.

“Setakat ini saya berjaya berjumpa lebih 50 peratus ketua kaum di DUN ini dan selepas ini kaedah kempen akan berubah sedikit. Kita akan mula masuk ke 11 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan kita jadualkan melawat tiga PDM dalam masa sehari,” katanya ketika ditemui di markas PN Senallang hari ini. 

Enggan dibayangi Mohd Shafie, yang juga pakciknya sendiri, Norazman berkata beliau mahu menerangkan kepada pengundi betapa perlunya perubahan pimpinan di kawasan itu ekoran dakwaan kurangnya pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh pemimpin sebelum ini.

Sementara itu, calon PN DUN Bugaya pula, Mohd Daud Tampokong, yang berdepan pertandingan tujuh  penjuru, berkata walaupun sebagai calon muka baharu namun gerak kerja jentera sudah semakin tersusun untuk mendampingi pengundi di peringkat akar umbi.

Ketua Bersatu Bahagian Semporna itu berkata setakat ini beliau sudah berkempen sehingga meliputi empat daripada 11 kawasan PDM di DUN itu dengan membawa fokus mengenai betapa pentingnya kerajaan negeri selari dengan kerajaan persekutuan bagi memudahkan agenda pembangunan dapat direalisasikan.

Bagaimanapun, gerak kerja kempen bagi calon beberapa parti lain seperti Parti Cinta Sabah, USNO, serta calon Bebas masih kurang kelihatan, malah bendera dan poster mereka masih tidak kelihatan di sini.

Setakat ini, poster dan bendera parti terutamanya membabitkan blok utama - Warisan Plus, Barisan Nasional (BN) dan PN mula dipacak di pelbagai lokasi tumpuan dengan jentera parti bertungkus lumus, tanpa mengira hujan dan panas menyiapkan tugasan mereka.

Warisan boleh dikatakan mendominasi perang bendera dan poster di ketiga-tiga DUN itu apabila hampir kesemua jalan utama dipenuhi dengan bendera parti itu, selain papan iklan gergasi memaparkan wajah Mohd Shafie dengan moto ‘In God We Trust, United We Must’. 

Jumlah pemilih berdaftar di DUN Senallang pada PRN Sabah, 26 Sept ini, adalah sebanyak 14,336 orang, DUN Bugaya (20,267) dan DUN Sulabayan (14,012).

-- BERNAMA 

ABOUT US

Malaysia National News Agency
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (General Line)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Categories

General
Business
Sports
Politics
World
Features
Thoughts
Infographics
Videos
Images
Exclusive Press

Copyrights

Disclaimer
Privacy Policy
Security Policy